Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump tawarkan diri sebagai perantara pertikaian Kashmir

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa (20 Ogos) menawarkan dirinya sebagai perantara bagi situasi yang semakin tegang di Kashmir sedang masyarakat antarabangsa semakin bimbang keganasan akan meningkat di antara India dengan Pakistan di rantau berpecah-belah itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump tawarkan diri sebagai perantara pertikaian Kashmir

Rakyat Pakistan pada Ogos 2019 mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah langkah India terhadap wilayah Kashmir. (Gambar: Asif Hassan/AFP)

Diterbitkan : 21 Aug 2019 10:52AM Dikemas Kini : 21 Aug 2019 11:04AM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa (20 Ogos) menawarkan dirinya sebagai perantara bagi situasi yang semakin tegang di Kashmir sedang masyarakat antarabangsa semakin bimbang keganasan akan meningkat di antara India dengan Pakistan di rantau berpecah-belah itu.

Bercakap sehari selepas membuat panggilan telefon kepada para pemimpin kedua-dua negara itu, Encik Trump berkata beliau berbesar hati untuk cuba dan membantu menenangkan keadaan di Kashmir yang semakin bergolak sejak India menarik balik status autonomi di bahagian wilayah yang ditadbirnya pada 5 Ogos.

Komen Encik Trump dibuat selepas Pakistan mendakwa tiga warganya maut akibat tembakan oleh pasukan keselamatan India dari sebarang sempadan yang memisahkannya dengan Kashmir, dikenali sebagai Garisan Kawalan (Line of Control).

Agensi berita Press Trust of India pula menukil para pegawai sebagai berkata seorang askar India maut dan empat lagi cedera akibat tembakan tentera Pakistan.

Kedua-dua India dan Pakistan merupakan negara-negara kuasa nuklear dan keadaan di Kashmir menjadi lebih rumit akibat tuntutan China ke atas sebahagian rantau Himalaya itu.

Encik Trump berkata beliau akan membangkitkan isu tersebut apabila bertemu dengan Perdana Menteri Narendra Modi pada hujung minggu ini. Mereka dijadual bertemu di Perancis bagi sidang Kumpulan G7.

Sekurang-kurangnya 4,000 orang ditahan di bahagian Kashmir yang ditadbir India sejak Ogos, apabila pihak berkuasa melaksanakan sekatan perhubungan serta pergerakan di kawasan itu.

Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat yang baru pulang dari lawatan ke rantau itu menyeru India pada Selasa agar segera melepaskan para tahanan dan mengembalikan kebebasan asas.

India dan Pakistan masing-masing menguasai sebahagian wilayah Kashmir sejak kemerdekaan pada 1947. Pertikaian ke atas wilayah majoriti Muslim itu mencetuskan dua perang besar dan banyak lagi pertempuran antara kedua-dua negara.

Dalam menegakkan keputusannya melucutkan status autonomi Kashmir, Encik Modi pada minggu lalu berkata "pemikiran baru" diperlukan setelah pertumpahan darah di Kashmir selama beberapa dekad.

Namun, tindakan beliau mencetuskan tindak balas meluas sehingga ribuan penunjuk perasaan berhimpun dalam beberapa bantahan merata Srinagar. 

Sumber : AFP/TQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan