Trump tangguh tarif ke atas Mexico, Kanada selama 30 hari
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menangguhkan selama 30 hari pelaksanaan tarif 25 peratus terhadap barangan Mexico dan Kanada yang diimport Amerika Syarikat.

Presiden AS Donald Trump tangguh pelaksanaan tarif 25% terhadap Mexico dan Kanada susuli panggilan telefon kepada kedua-dua pemimpin negara. (Gambar: AFP)
Persetujuan itu dicapai dalam rundingan menerusi telefon antara Presiden Trump dengan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dan Perdana Menteri Kanada, Justine Trudeau pada Isnin (3 Feb).
Sungguhpun begitu, tarif Amerika ke atas China tetap dijadual berkuat kuasa dalam tempoh beberapa jam. Presiden Trump mahu menaikkan tarif import barangan dari China sebanyak 10 peratus.
Beijing mengancam akan bertindak balas dan telah membuat aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Menurut Presiden Trump, dalam tempoh sebulan itu ketiga-tiga negara akan meneruskan rundingan bagi mencapai perjanjian yang diinginkan.
Tarif import 25 peratus itu sepatutnya mula dikuatkuasakan pada Selasa, 1.00 tengah hari waktu Singapura.
Namun ia ditangguhkan setelah Presiden Sheinbaum dan PM Trudeau bersetuju menghantar sekitar 10,000 pegawai barisan hadapan masing-masing ke kawasan sempadan dengan Amerika.
Ia bagi mencegah penyeludupan dadah fentanyl dan penyusupan pendatang tanpa izin ke Amerika.
Encik Trudeau juga berkata Kanada akan mengerahkan teknologi baharu dan kakitangan sepanjang sempadannya dengan Amerika bagi menghalang penghantaran fentanyl.
Presiden Sheinbaum pula berkata Presiden Trump bersetuju untuk meningkatkan lagi langkah-langkah bagi mencegah penyeludupan senjata Amerika ke Mexico.
Tiada pengesahan segera diberikan oleh Rumah Putih, namun Encik Trump memberitahu wartawan bahawa panggilan telefonnya dengan Encik Trudeau 'berjalan lancar'.
Ahli ekonomi menyatakan tarif yang tinggi itu akan memudaratkan ekonomi, termasuk menyebabkan harga meningkat bagi perniagaan dan pengguna Amerika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.