Skip to main content

Dunia

Trump tandatangani perjanjian buka semula operasi pemerintah Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
 Trump tandatangani perjanjian buka semula operasi pemerintah Amerika
Presiden Amerika Syarikat bergambar selepas menandatangani rang undang-undang pembiayaan untuk mengakhiri penutupan operasi pemerintah Amerika di Rumah Putih di Washington DC pada 12 November 2025. (Gambar: Reuters/Kevin Lamarque)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu (12 Nov) menandatangani perundangan bagi mengakhiri penutupan operasi pemerintah paling lama dalam sejarah Amerika.

Ini berlaku sekitar dua jam selepas Dewan Perwakilan mengundi untuk memulihkan bantuan makanan, membayar beribu-ribu pekerja persekutuan dan menghidupkan semula sistem kawalan trafik udara yang terjejas.

Dalam ucapannya sebelum menandatangani perundangan tersebut, Encik Trump berkata, "Ia satu penghormatan sekarang untuk menandatangani Rang Undang-Undang luar biasa ini."

Beliau berkata operasi pemerintah tidak sepatutnya ditutup lagi, sambil menambah, "Ini bukan cara untuk mengendalikan sesebuah negara."

Dewan yang dikawal Republican meluluskan pakej tersebut dengan undian 222-209, dengan sokongan Presiden Donald Trump sebahagian besarnya menyatukan partinya dalam menghadapi tentangan hebat daripada Democrat Dewan, disebabkan kebuntuan di Senat yang gagal menghasilkan perjanjian untuk melanjutkan subsidi insurans kesihatan persekutuan.

Tandatangan Encik Trump pada Rang Undang-Undang tersebut, yang diluluskan Senat lebih awal minggu ini, akan mendorong pekerja persekutuan - yang menganggur akibat penutupan 43 hari - kembali bekerja seawal Khamis, walaupun masih belum jelas seberapa cepat perkhidmatan dan operasi pemerintah penuh akan disambung semula.

Ia akan melanjutkan pembiayaan hingga 30 Januari, menyebabkan pemerintah persekutuan terus berusaha untuk menambah kira-kira AS$1.8 trilion (S$2.3 trilion) setahun kepada hutangnya yang kini berjumlah AS$38 trilion (S$49.4 trilion).

Penutupan yang sudah berakhir ini memberi sedikit harapan bahawa perkhidmatan yang penting untuk perjalanan udara, khususnya, akan mempunyai masa untuk pulih.

Ia juga bermakna aliran data mengenai ekonomi Amerika dari agensi statistik utama akan dipulihkan dalam beberapa hari akan datang.

Ketiadaan data menyebabkan pelabur, penggubal dasar dan isi rumah sebahagian besarnya tidak tahu-menahu tentang pasaran pekerjaan, trajektori inflasi dan kadar perbelanjaan pengguna serta pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita