Trump tandatangan pengiktirafan Bukit Golan milik Israel
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin (25 Mac) menandatangani pengisytiharan bagi mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas wilayah Bukit Golan yang dipertikaikan.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan pengiktirafan Bukit Golan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebagai satu 'detik bersejarah'. (Gambar: Susan Walsh/AP)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin (25 Mac) menandatangani pengisytiharan bagi mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas wilayah Bukit Golan yang dipertikaikan.
Kawasan itu adalah wilayah sempadan yang dirampas daripada Syria pada 1967.
"Pengiktirafan ini memakan masa panjang untuk dilaksanakan,” kata Encik Trump yang berada bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Rumah Putih.
Tindakan Encik Trump itu bertentangan dengan persetujuan antarabangsa, sejak berdekad-dekad lalu.
Encik Netanyahu menyifatkan pengiktirafan Encik Trump sebagai satu detik "bersejarah".
"Pengiktirafan ini bersejarah, Bukit Golan akan kekal di bawah kawalan Israel. Kita tidak akan melepaskannya.
“Pengiktirafan anda dibuat ketika Golan amat penting untuk keselamatan kami,” kata Encik Netanyahu mengenai wilayah yang masih dituntut Syria itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita negara Syria, SANA, kementerian luar negara itu menyifatkan keputusan Amerika Syarikat sebagai "serangan terhadap kedaulatan dan integriti wilayah" Syria.
Seorang jurucakap bagi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres berkata beliau "jelas akan status Bukit Golan yang belum berubah".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.