Skip to main content

Dunia

Trump tandatangan mata wang kripto stablecoin jadi undang-undang

Anggaran Waktu Membaca:
Trump tandatangan mata wang kripto stablecoin jadi undang-undang

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menggenggam Akta GENIUS yang ditandatanganinya. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 19 Jul 2025 08:14AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Jumaat (18 Jul) menandatangani undang-undang pertama negara itu yang mengawal selia 'stablecoin'.

Ini sekali gus menandakan pencapaian penting bagi sektor mata wang kripto yang sedang berusaha untuk mendapatkan penerimaan dan legitimasi yang lebih meluas.

Undang-undang baharu itu, yang secara rasmi dinamakan Akta GENIUS, menetapkan peraturan persekutuan bagi stablecoin.

Stablecoin ialah mata wang kripto yang direka untuk mengekalkan nilai tetap, biasanya dipaut kepada dolar Amerika Syarikat.

Rang undang-undang ini diluluskan oleh Dewan Perwakilan dengan undian 308 menyokong dan 122 menentang, dengan sokongan daripada kebanyakan Republican dan hampir separuh Democrat.

“Penandatanganan ini adalah pengiktirafan besar terhadap kerja keras dan semangat perintis anda,” kata Encik Trump semasa upacara penandatanganan, yang turut dihadiri oleh beberapa eksekutif syarikat kripto.

Di bawah undang-undang ini, stablecoin mesti disokong sepenuhnya oleh aset cair, termasuk dolar Amerika dan bil Perbendaharaan jangka pendek.

Penerbit juga dikehendaki mendedahkan komposisi rizab mereka secara terbuka setiap bulan.

Undang-undang ini dilihat sebagai kemenangan besar bagi penyokong mata wang kripto, yang sudah lama melobi untuk rangka kerja peraturan yang jelas.

Langkah ini bertujuan memberikan kepastian kepada sektor ini, menggalakkan inovasi, serta menarik institusi dan pengguna arus perdana.

KESAN PASARAN DAN KRITIKAN

Pasaran stablecoin kini dianggarkan bernilai lebih daripada US$260 bilion (S$333.8 bilion), menurut CoinGecko, dan dijangka berkembang kepada US$2 trilion (S$2.6 trilion) menjelang 2028, menurut anggaran Standard Chartered.

Pemain industri berpendapat bahawa undang-undang ini akan meningkatkan kredibiliti stablecoin dan memudahkan penggunaannya oleh bank, peniaga, dan pengguna untuk pembayaran segera.

Beberapa firma kripto seperti Circle dan Ripple sedang berusaha mendapatkan lesen perbankan bagi membolehkan huraian transaksi yang lebih pantas dan kos rendah.

Namun begitu, pengkritik menyatakan bahawa undang-undang ini mempunyai kelemahan.

Parti Democrat dan kumpulan pengguna berpendapat ia kekurangan perlindungan kukuh terhadap pengubahan wang haram dan gagal menyekat syarikat teknologi besar atau entiti asing daripada menerbitkan stablecoin mereka sendiri - sesuatu yang boleh menimbulkan kebimbangan berkaitan penguasaan pasaran dan pengawasan pengawalseliaan.

Kelulusan undang-undang ini berlaku selepas usaha melobi yang agresif oleh sektor kripto, yang sudah membelanjakan lebih US$245 juta (S$314.5 juta) dalam kitaran pilihan raya 2024 untuk menyokong calon pro-kripto, termasuk Encik Trump, menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan.

Encik Trump juga semakin menunjukkan sokongan terhadap industri aset digital.

Pada bulan Mac, beliau menandatangani perintah eksekutif untuk mewujudkan rizab strategik Bitcoin.

Awal tahun ini, beliau melancarkan syiling 'meme' yang diberi nama $TRUMP dan memiliki sebahagian pegangan dalam syarikat kripto World Liberty Financial.

Semasa kempen pilihan raya presidennya, Encik Trump memberitahu persidangan kripto bahawa beliau berhasrat untuk menjadikan Amerika sebagai “ibu kota kripto dunia.”

Dengan penandatanganan undang-undang stablecoin ini, industri tersebut kini semakin hampir ke arah visi itu.
Sumber : CNA/IM/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita