Skip to main content

Dunia

Trump selar muzium Amerika kerana papar "betapa buruknya perhambaan"

Anggaran Waktu Membaca:
Trump selar muzium Amerika kerana papar "betapa buruknya perhambaan"

Museum Nasional Sejarah dan Budaya Afrika-Amerika di Washington. (Gambar: AP/Susan Walsh)

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa (19 Ogos) mengkritik muzium-muzium terkemuka di negara itu kerana memfokuskan kepada budaya kesedaran (woke culture) terhadap subjek-subjek termasuk "betapa buruknya perhambaan," kritikan terbaharunya terhadap institusi-institusi budaya di negara tersebut.

"The Smithsonian TIDAK TERKAWAL, di mana semua yang dibincangkan adalah betapa teruknya negara kita, betapa buruknya perhambaan, dan betapa tidak berjayanya mereka yang tertindas - Tiada apa-apa tentang kejayaan, tiada apa-apa tentang kebijaksanaan, tiada apa-apa tentang masa depan," tulis Encik Trump.

Beliau merujuk kepada Smithsonian Institution, sebuah pertubuhan bebas yang mengendalikan 17 muzium, galeri dan taman haiwan yang terletak di serata negara, yang menerima pembiayaan awam, dan yang sebelum ini dituduh Encik Trump menyokong "ideologi yang merosakkan minda".

Pemerdagangan hamba rentas Atlantik dari Afrika ke Amerika menjangkau tiga abad, dan telah dirujuk sebagai "dosa asal" Amerika Syarikat.

Bahagian selatan Amerika berjuang untuk mengekalkan perhambaan dalam Perang Saudara antara 1861-1865, tetapi kalah.

Sejak itu orang Afrika Amerika telah memperjuangkan hak sivil mereka, termasuk dalam bantahan Black Lives Matter pada 2020.

"Muzium-muzium di serata Washington, tetapi di seluruh negara, pada asasnya, adalah segmen terakhir 'WOKE' (budaya kesedaran)," tulis Encik Trump dalam catatannya di Truth Social.

Selama berbulan-bulan, Encik Trump memperlekehkan institusi-institusi budaya, yang telah berusaha untuk membawa lebih banyak kepelbagaian kepada pameran dan pengaturcaraan masing-masing sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menonjolkan kaum wanita, masyarakat bukan kulit putih dan budaya LGBT.

Minggu lalu, Rumah Putih memuat naik surat ke laman webnya yang menyatakan bahawa Pentadbiran Presiden Trump merancang untuk menyasarkan lapan muzium utama untuk menjalani "semakan dalaman yang menyeluruh" dalam usaha untuk "meraikan keistimewaan Amerika" dan "menghapuskan naratif yang memecahbelahkan rakyat".

Institusi-institusi yang disasarkan termasuk National Museum of American History, National Museum of African American History and Culture, dan Museum of the American Indian, menurut surat itu.

"Sekarang muzium menjadi sasaran kerana mereka bercakap terlalu terbuka tentang betapa buruknya perhambaan," tulis peguam hak sivil terkenal Ben Crump di laman X sebagai tindak balas terhadap catatan Encik Trump.

"Jika bercakap benar tentang perhambaan membuat muzium mengamalkan 'budaya kesedaran,' maka masalahnya bukan sejarah, tetapi orang yang mahu memadamkannya," tegas beliau.

Pada 2017, semasa penggal pertamanya, Encik Trump melawat National Museum of African American History - yang dibuka tahun sebelumnya dan yang menggambarkan pemerdagangan hamba, antara subjek sejarah lain.

“Muzium ini merupakan satu penghormatan yang indah kepada begitu ramai wira Amerika,” kata Encik Trump selepas lawatannya, menurut laporan media tempatan ketika itu. "Ia menakjubkan untuk dilihat."
Sumber : AFP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita