Trump selar dasar 'kepelbagaian pejerja' selepas 67 maut dalam nahas American Airlines

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar: Jim WATSON / AFP)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Khamis (30 Jan) melancarkan serangan politik dengan menyalahkan pengambilan pekerja berdasarkan kepelbagaian etnik sebagai punca kemalangan udara antara pesawat penumpang dan helikopter tentera, mengorbankan 67 orang dalam nahas udara paling buruk di Amerika dalam tempoh lebih 20 tahun.
Encik Trump, yang memegang jawatan 10 hari lalu, menjadikan sidang media mengenai tragedi itu sebagai platform untuk menyerang dasar kepelbagaian, ekuiti dan inklusi (DEI) iaitu satu siri langkah selama beberapa dekad bertujuan memerangi perkauman dan penindasan jantina di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Beliau menuduh pendahulunya dari Democrat, Joe Biden dan Barack Obama, kerana menyekat pekerja yang berkebolehan memasuki Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) demi DEI, sekali gus menjejaskan kecekapan jabatan itu.
Siasatan ke atas nahas di ibu kota itu baru sahaja bermula dan masih belum jelas mengapa pesawat Bombardier American Airlines yang membawa 60 penumpang dan empat anak kapal bertembung dengan helikopter Black Hawk Tentera Amerika ketika ia sedang dalam proses mendarat di Lapangan Terbang Nasional Reagan di Washington.
Setiausaha Pengangkutan Amerika Sean Duffy berkata, kedua-dua pesawat telah mengikut corak penerbangan standard dan tiada masalah komunikasi.
Komunikasi radio menunjukkan bahawa pengawal trafik udara memaklumkan helikopter tersebut tentang pesawat yang menghampiri dan mengarahkannya menukar haluan.
Semasa sidang media Rumah Putih, Encik Trump mengkritik juruterbang helikopter dan berkata beliau tidak dapat memastikan sama ada pengawal trafik udara harus dipersalahkan.
"Kami tidak tahu apa yang menyebabkan kemalangan ini, tetapi kami mempunyai beberapa pendapat dan idea yang sangat kuat," katanya.
Kemalangan itu adalah nahas besar pertama di AS sejak 2009 apabila 49 orang terbunuh berhampiran Buffalo, New York.
Lapangan Terbang Nasional Reagan ialah lapangan terbang utama yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Washington, Rumah Putih dan Pentagon.
Ruang udara sangat sibuk, dengan pesawat awam dan tentera sentiasa ada di ruang udaranya.
Encik Trump menuduh mantan Presiden Joe Biden menurunkan standard pengambilan pekerja dan membayangkan bahawa dasar kepelbagaian Pentadbiran Penerbangan Persekutuan telah melemahkan keupayaannya.
Ditanya sama ada kemalangan itu berpunca daripada pengambilan pekerja atas dasar kepelbagaian etnik, Encik Trump berkata: "Ia mungkin antara sebabnya." Pentadbiran Trump bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu.
Encik Trump telah bertindak pantas untuk membatalkan inisiatif kepelbagaian persekutuan sejak menyandang semula jawatan presiden pada 20 Jan, sekalipun mendapat kritikan daripada penyokong hak asasi manusia yang bimbang beliau akan menghambat kemajuan yang telah dicapai oleh Amerika untuk mengatasi sejarah diskriminasinya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.