Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump sasar Majlis Hak Asasi Manusia PBB, agensi bantuan Palestin UNRWA

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa (4 Feb) dijangka menghentikan penglibatan negara itu dengan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan terus menghentikan pembiayaan kepada agensi bantuan Palestin PBB UNRWA, kata seorang pegawai Rumah Putih pada Isnin.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump sasar Majlis Hak Asasi Manusia PBB, agensi bantuan Palestin UNRWA

Seorang penduduk Palestin berdiri di hadapan lambang UNRWA di Bandar Gaza. (Gambar: AFP/Getty Images)

Diterbitkan : 04 Feb 2025 10:32AM Dikemas Kini : 04 Feb 2025 10:33AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa (4 Feb) dijangka menghentikan penglibatan negara itu dengan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan terus menghentikan pembiayaan kepada agensi bantuan Palestin PBB UNRWA, kata seorang pegawai Rumah Putih pada Isnin.

Langkah itu bertepatan dengan lawatan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke Washington, yang telah lama mengkritik UNRWA, menuduh agensi itu melakukan hasutan anti-Israel dan kakitangannya "terlibat dalam aktiviti pengganas terhadap Israel."

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan UNRWA tidak memberi respons segera terhadap permintaan untuk mengulas laporan tersebut.

Semasa penggal pertama Encik Trump di Rumah Putih, dari 2017-2021, beliau juga memotong pembiayaan kepada UNRWA, mempersoalkan nilainya, dengan mengatakan bahawa rakyat Palestin perlu bersetuju untuk memulakan semula rundingan damai dengan Israel, dan meminta pembaharuan yang tidak dinyatakan.

Pentadbiran Trump ketika itu juga keluar daripada Majlis Hak Asasi Manusia yang mempunyai 47 anggota pada pertengahan penggal tiga tahun atas apa yang didakwanya sebagai berat sebelah yang kronik terhadap Israel dan kurangnya pembaharuan. Buat masa ini, AS bukan anggota badan yang berpusat di Geneva itu. Di bawah mantan Presiden Democrat Joe Biden, AS dipilih semula dan berkhidmat untuk penggal 2022-2024.

Kumpulan kerja Majlis Hak Asasi Manusia dijadualkan mengkaji semula rekod hak asasi manusia AS pada Ogos, satu proses yang dilalui semua negara setiap beberapa tahun. Walaupun majlis itu tidak mempunyai kuasa yang mengikat secara undang-undang, perbahasannya mempunyai kesan berat terhadap politik sesebuah negara. Kritikan oleh Majlis itu juga boleh meningkatkan tekanan global terhadap pemerintah untuk mengubah haluan.

Sejak memegang jawatan bagi penggal kedua pada 20 Jan, Presiden Trump telah mengarahkan agar AS menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan perjanjian iklim Paris - juga langkah-langkah yang diambilnya semasa penggal pertamanya di Washinton.

ISRAEL LAWAN UNRWA

Duta Israel ke PBB, Danny Danon, pada Isnin memuji langkah-langkah yang dijangka diambil oleh Encik Trump, menuduh Majlis Hak Asasi Manusia "secara agresif mempromosikan anti-Yahudi yang melampau."

"Pada masa yang sama, UNRWA telah lama kehilangan statusnya sebagai organisasi kemanusiaan bebas, dan telah berubah menjadi badan pengganas yang dikawal oleh Hamas dengan berselindung sebagai agensi kemanusiaan," katanya.

Pesuruhjaya Agung UNRWA Philippe Lazzarini berkata minggu lalu bahawa agensi itu telah menjadi sasaran "kempen maklumat palsu yang teruk" untuk "menggambarkan agensi itu sebagai organisasi pengganas."

AS adalah penyumbang terbesar UNRWA - menyediakan AS$300 juta (S$408 juta)-AS$400 juta (S$544 juta)setahun - tetapi Encik Biden menghentikan pembiayaan pada Januari 2024 selepas Israel menuduh puluhan kakitangan UNRWA mengambil bahagian dalam serangan maut Hamas ke atas Israel pada 7 Okt, 2023 yang mencetuskan perang di Gaza.

Kongres AS kemudiannya secara rasmi menggantung sumbangan kepada UNRWA sehingga sekurang-kurangnya Mac 2025.

UNRWA menyediakan bantuan, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan kepada berjuta-juta rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, termasuk Timur Baitulmakdis, Syria, Lubnan dan Jordan.

PBB telah mengatakan bahawa sembilan kakitangan UNRWA mungkin terlibat dalam serangan 7 Okt, 2023, dan telah dipecat.

Seorang komander Hamas di Lubnan yang dibunuh Israel pada September, juga didapati mempunyai pekerjaan di UNRWA. PBB telah berjanji untuk menyiasat semua tuduhan yang dibuat dan berulang kali meminta Israel memberikan bukti tuduhannya, yang dikatakan belum diberikan.

Larangan Israel berkuat kuasa pada 30 Jan termasuk tidak membenarkan UNRWA beroperasi di wilayahnya atau berkomunikasi dengan pihak berkuasa Israel. UNRWA mengatakan operasi di Gaza dan Tebing Barat juga akan terjejas.
Sumber : Reuters/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan