Trump saran turunkan tarif China, 80% 'paras betul'

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi kemas kini dalam konflik Houthi di Timur Tengah semasa upacara angkat sumpah untuk Steve Witkoff sebagai Utusan Khas ke Timur Tengah di Rumah Putih pada 6 Mei 2025. (Gambar: Anna Moneymaker / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP).
"Tarif 80 peratus ke atas China paras yang betul!" menurut Encik Trump melalui platform Truth Social beliau, yang akan menurunkannya daripada 145 peratus, dengan duti kumulatif ke atas beberapa barangan mencapai tahap yang mengejutkan sebanyak 245 peratus.
Beliau menambah bahawa ia "bergantung kepada Scott B.", merujuk kepada Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Scott Bessent, yang akan bermesyuarat dengan Timbalan Perdana Menteri China He Lifeng pada hujung minggu ini di Geneva untuk cuba meredakan konflik yang menggemparkan pasaran antarabangsa.
Dalam kenyataannya, Encik Trump tidak menyatakan sama ada beliau berpendapat 80 peratus harus menjadi paras akhir dan muktamad untuk tarif ke atas barangan China sekiranya dan apabila perang perdagangan berakhir, atau status sementara.
Dalam satu lagi catatan, kali ini semuanya dalam huruf besar, Encik Trump berkata "China harus membuka pasarannya kepada USA - akan sangat baik untuk mereka!!! Pasaran tertutup tidak lagi berfungsi!!!"
Komen Encik Trump datang sehari selepas beliau mendedahkan apa yang beliau panggil perjanjian perdagangan bersejarah dengan Britain, perjanjian pertama dengan mana-mana negara sejak beliau melancarkan tarif global yang menyeluruh bulan lalu.
Encik Trump berkata perjanjian Britain akan menjadi yang pertama daripada banyak lagi perjanjian, dan beliau berharap rundingan sukar dengan Kesatuan Eropah (EU) - serta China - juga boleh menghasilkan keputusan tidak lama lagi.
Beberapa negara sudah menunggu untuk mengadakan rundingan dengan Washington bagi mengelakkan yang terburuk daripada duti Encik Trump, yang berkisar antara 10 peratus untuk banyak negara hingga yang sangat tinggi ke atas China - sasaran utama Trump.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.