Skip to main content

Dunia

Trump sambut Xi di lapangan terbang sejurus tiba bagi lawatan negara ke Amerika

Presiden China Xi Jinping tiba di Washington pada Rabu (23 Sep), memulakan lawatan negara selama tiga hari dengan sambutan yang jarang diberikan kepada pemimpin asing oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump sambut Xi di lapangan terbang sejurus tiba bagi lawatan negara ke Amerika

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Wanita Pertama Melania Trump, Presiden China Xi Jinping dan isterinya Peng Liyuan memeriksa barisan kawalan kehormatan selepas tiba bagi lawatan negara di Pangkalan Udara Bersama Andrews, Maryland, Amerika Syarikat, pada 23 September 2026. (Gambar: REUTERS/Jonathan Ernst)

Diterbitkan : 24 Sep 2026 08:14AM
  • Presiden China Xi Jinping tiba di Washington pada 23 Sep untuk lawatan negara tiga hari, disambut sendiri oleh Presiden Donald Trump di Pangkalan Udara Bersama Andrews.
  • Sambutan luar biasa itu turut melibatkan Melania Trump dan Peng Liyuan, sebelum acara rasmi di Rumah Putih, rundingan dan jamuan negara pada 24 Sep.
  • Rundingan dijangka menumpukan perdagangan, AI, Iran, Taiwan dan mineral nadir bumi, ketika Amerika dan China cuba mengurus persaingan strategik.
  • Marco Rubio berkata interaksi tertinggi diperlukan bagi dua ekonomi besar itu, manakala Xi turut dijadual minum teh tertutup dan melawat Arkib Negara.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Presiden China Xi Jinping tiba di Washington pada Rabu (23 Sep), memulakan lawatan negara selama tiga hari dengan sambutan yang jarang diberikan kepada pemimpin asing oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Encik Trump menyambut sendiri Encik Xi di Pangkalan Udara Bersama Andrews di Maryland, di luar Washington, dan bukan menunggu ketibaan pemimpin China itu di Rumah Putih.

Langkah tersebut jarang dilakukan seorang Presiden Amerika bagi menyambut pemimpin asing yang melakukan lawatan ke negara itu.

Encik Trump dan Wanita Pertama Melania Trump berada di pangkalan tersebut bagi menyertai upacara ketibaan Encik Xi dan isterinya, Cik Peng Liyuan.

Lawatan itu merupakan lawatan negara pertama Encik Xi ke Amerika dalam tempoh lebih sedekad dan menyusuli lawatan negara Encik Trump ke China pada Mei.

Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan rundingan pada Khamis (24 Sep), dengan perdagangan, kecerdasan buatan (AI), perang ke atas Iran dan Taiwan dijangka menjadi antara isu utama yang dibincangkan.

SAMBUTAN RASMI DI RUMAH PUTIH

Encik Xi dijadual menghadiri upacara ketibaan rasmi di Rumah Putih pada Khamis (24 Sep), termasuk memeriksa barisan kawalan kehormatan.

Beliau kemudian dijangka mengadakan rundingan dengan Encik Trump sebelum menghadiri jamuan negara pada sebelah malam.

Antara tetamu yang dijangka menghadiri jamuan itu ialah para pemimpin industri teknologi, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang dan pengasas SpaceX Elon Musk.

Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio berkata hubungan antara Amerika dengan China memerlukan interaksi di peringkat tertinggi memandangkan kedua-duanya merupakan dua ekonomi terbesar dunia dan antara kuasa ketenteraan paling berpengaruh.

Menurut beliau, adalah tidak bertanggungjawab sekiranya kedua-dua negara tidak berinteraksi di peringkat tertinggi.

LAWATAN SELAMA TIGA HARI

Pada Jumaat (25 Sep), Encik Xi dan Cik Peng dijadual kembali ke Rumah Putih untuk menghadiri acara minum teh secara tertutup bersama Encik Trump dan Cik Trump.

Mereka kemudian dijadual melawat Arkib Negara di Washington untuk melihat dokumen-dokumen bersejarah berkaitan hubungan Amerika dan China.

Lawatan Encik Xi berlangsung sedang kedua-dua negara berusaha mengurus persaingan dalam perdagangan, teknologi dan isu strategik lain.

Rundingan peringkat tinggi yang diadakan sebelum sidang puncak itu turut menyentuh perdagangan, AI dan bekalan mineral nadir bumi.
Sumber : AP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita