Trump rancang laksana tarif terhadap Kanada, Perancis atas cukai perkhidmatan digital
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Khamis (13 Feb) berkata bahawa beliau merancang untuk mengenakan tarif ke atas Kanada dan Perancis berhubung cukai perkhidmatan digital mereka ke atas syarikat-syarikat gergasi teknologi Amerika.

Encik Trump menugaskan pasukan ekonominya pada Khamis (13 Feb) untuk merangka rancangan untuk mengenakan tarif timbal balik ke atas setiap negara yang mengenakan cukai ke atas import Amerika. (Gambar: AFP)
Kanada, yang mahu menangani cabaran mengenakan cukai ke atas syarikat-syarikat gergasi digital seperti syarikat induk Google, Alphabet dan Amazon.com yang boleh meningkatkan keuntungan mereka di negara-negara cukai rendah, mula mengenakan cukai itu pada Jun tahun lalu.
Encik Trump telah menugaskan pasukan ekonominya pada Khamis (13 Feb) untuk merangka rancangan untuk mengenakan tarif timbal balik ke atas setiap negara yang mengenakan cukai ke atas import Amerika.
Lembaran fakta Rumah Putih menyatakan bahawa "hanya Amerika yang dibenarkan untuk mengenakan cukai ke atas firma Amerika," dan menuduh Kanada dan Perancis menggunakan cukai perkhidmatan digital untuk masing-masing mengutip lebih AS$500 juta setahun daripada syarikat-syarikat Amerika.
"Secara keseluruhannya, cukai bukan timbal balik ini membebankan firma-firma Amerika melebihi AS$2 bilion setahun. Tarif timbal balik akan mengembalikan keadilan dan kemakmuran kepada sistem perdagangan antarabangsa yang diputarbelitkan dan menyekat rakyat Amerika daripada diambil kesempatan," menurut lembaran fakta itu. Ia bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.
Tahun lalu, di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden sebelum ini, Washington mengusulkan rundingan bagi menyelesaikan pertikaian perdagangan dengan Kanada berhubung cukai itu, menyifatkannya sebagai satu bentuk diskriminasi.
Pejabat Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau belum lagi memberikan respons apabila diminta untuk mengulas tentang perkara itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.