Skip to main content

Dunia

Trump pulang selepas hadiri Sidang Puncak ASEAN ke-47, majlis pemeteraian perjanjian damai KL

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin (27 Okt) pukul 10.06 pagi selepas menghadiri Sidang Puncak ASEAN ke-47 dan Sidang Puncak Berkaitan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 

Anggaran Waktu Membaca:
Trump pulang selepas hadiri Sidang Puncak ASEAN ke-47, majlis pemeteraian perjanjian damai KL

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 27 Oktober 2025. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 27 Oct 2025 01:13PM
SEPANG: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin (27 Okt) pukul 10.06 pagi selepas menghadiri Sidang Puncak ASEAN ke-47 dan Sidang Puncak Berkaitan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). 

Lawatan dua hari Encik Trump ke Malaysia berakhir dengan berlepasnya pesawat Air Force One.

Ini merupakan kunjungan pertama presiden Amerika Syarikat itu ke Malaysia sejak beliau kembali memegang jawatan pada awal tahun ini dan sebagai sebahagian daripada siri lawatannya ke beberapa negara Asia.

Menteri Dalam Negeri Malaysia, Saifuddin Nasution Ismail berada di KLIA untuk mengucapkan selamat jalan.

Terdahulu, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim, Encik Saifuddin serta wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, termasuk Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D Kagan dilihat berada di hotel penginapan Encik Trump di ibu negara.

Di luar sidang puncak itu, Encik Trump dan Encik Anwar menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Damai KL antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, usaha ke arah menamatkan pertikaian antara kedua-dua negara jiran itu yang sudah berlarutan selama beberapa dekad.

Perjanjian damai yang ditandatangani di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 itu turut menyaksikan penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN bagi memantau usaha perdamaian serta memastikan kestabilan jangka panjang di kawasan sempadan.

Presiden Trump turut memuji Encik Anwar atas keberanian dan kejayaannya sebagai perantara dalam proses perjanjian berkenaan, menyifatkan beliau sebagai tokoh hebat dan bersejarah yang berjaya mempertemukan kedua-dua pihak melalui dialog dan diplomasi.

Selain itu, Encik Trump turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Encik Anwar, kedua-dua pemimpin menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika Syarikat dan Perkongsian Strategik Komprehensif yang bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi, tenaga dan mineral penting.

Majlis menandatangani itu turut diserikan dengan interaksi santai apabila Encik Anwar secara berseloroh merujuk pen Encik Trump sebagai “pen Rumah Putih”, mencetuskan suasana ceria dan mencerminkan keakraban hubungan antara kedua-dua pemimpin.

Encik Trump turut meluangkan masa menghadiri Sidang Puncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13 menyaksikan beliau menegaskan semula komitmen penuh Washington terhadap Asia Tenggara serta berikrar meneruskan kerjasama pada era yang disifatkan sebagai “zaman keemasan Amerika”.

Beliau berkata Amerika Syarikat terus komited dalam memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan makmur, serta memperkukuh kerjasama dengan negara-negara ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan keselamatan serantau.

“Pesanan saya kepada negara-negara di Asia Tenggara ialah Amerika Syarikat seratus peratus berada di pihak anda, dan kami berhasrat menjadi rakan kongsi dan sahabat anda yang kuat untuk generasi akan datang,” kata Encik Trump dalam ucapan pada sidang puncak ASEAN-Amerika Syarikat itu.

Presiden Amerika Syarikat itu turut memuji Malaysia atas kepimpinan serta layanan mesra di bawah pentadbiran Encik Anwar, dan berkata lawatan tersebut memberikan beliau peluang untuk melihat sendiri kemajuan serta pencapaian Malaysia.

"Pengalaman saya di sini benar-benar menakjubkan. Saya baru sehari berada di Malaysia namun Perdana Menteri (Anwar) memastikan bahawa saya melihat segalanya, setiap perkara,” katanya yang berkongsi pengalaman menaiki kenderaan rasmi presiden “The Beast” dalam perjalanan dari Kompleks Bunga Raya ke KLCC. 

Encik Trump kemudian menyifatkan lawatan pertama beliau ke Asia sebagai “momen menarik” dan perjanjian perdagangan baharu yang dicapai dengan Malaysia, Vietnam, Kemboja dan Thailand berpotensi membawa banyak manfaat kepada ekonomi serantau.

Beliau berkata Amerika Syarikat berharap dapat memperluas kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan pembuatan termaju, sambil menekankan peranan penting ASEAN dalam pertumbuhan global dan rantaian bekalan dunia.

Presiden Amerika Syarikat itu akan meneruskan siri lawatan beliau dengan mengunjungi Jepun sebelum ke Korea Selatan bagi menghadiri Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2025, dan dijangka bertemu dengan Presiden China Xi Jinping sebelum mengakhiri lawatannya.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita