Trump potong tarif India setelah Modi setuju henti beli minyak Rusia
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Narendra Modi berjabat tangan sedang mereka menghadiri sidang media bersama di Rumah Putih di Washington pada 13 Feb 2025. (Gambar fail: Reuters)
Encik Trump berkata beliau menurunkan tarif ke atas barang import India kepada 18 peratus.
Beliau sebelum ini mengenakan tarif balasan sebanyak 25 peratus ke atas India, selain tarif tambahan sebanyak 25 peratus kerana membeli minyak Mosko.
Encik Modi berkata pada Isnin(3 Feb) bahawa beliau mengadakan panggilan telefon "positif" dengan Encik Trump dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana mengurangkan levi terhadap produk dari India - tetapi tidak menyebut tentang pengumuman Encik Trump supaya menghentikan pembelian minyak Rusia.
Keengganan India untuk berhenti membeli minyak dari Rusia - di mana Washington menuduh India membiayai pencerobohan Rusia ke atas Ukraine - menjadi pergeseran selama berbulan-bulan sedang Encik Trump berusaha untuk menamatkan perang itu.
"Atas dasar persahabatan dan hormat kepada PM Modi dan, mengikut permintaannya, berkuat kuasa serta-merta, kami bersetuju dengan Perjanjian Perdagangan antara Amerika Syarikat dengan India, kata Encik Trump dalam catatannya di platform Truth Social.
Encik Trump berkata Amerika Syarikat akan mengurangkan tarif balasan yang dikenakan terhadap India semasa gelombang tarif "Hari Pembebasan" global tahun lalu daripada 25 peratus kepada 18 peratus.
Seorang pegawai Rumah Putih memberitahu AFP bahawa tarif tambahan sebanyak 25 peratus yang dikenakan oleh Encik Trump terhadap India atas pembelian minyak Rusia pada Ogos juga akan digugurkan.
Encik Trump menambah PM Modi "bersetuju untuk berhenti membeli minyak Rusia, dan membeli lebih banyak lagi dari Amerika Syarikat dan, kemungkinan, Venezuela. Ini akan bantu MENAMATKAN PERANG di Ukraine."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.