Trump pertimbang kemungkinan bom Iran lagi, gugurkan rancangan pelepasan sekatan
Presiden Donald Trump mengkritik keras Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, pada Jumaat (27 Jun), menggugurkan rancangan untuk menarik balik sekatan terhadap Iran dan berkata bahawa beliau akan mempertimbangkan untuk mengebom Iran sekali lagi jika Tehran memperkayakan uranium ke tahap yang membimbangkan.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyampaikan ucapan kepada rakyat bersama Naib Presiden JD Vance, Setiausaha Negara Marco Rubio dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, di Rumah Putih, Washington, D.C., Amerika Syarikat pada 21 Jun 2025, menyusuli serangan negaranya ke atas kemudahan nuklear Iran. (Gambar: REUTERS/Carlos Barria)
Encik Trump bertindak balas tegas terhadap kenyataan pertama Encik Khamenei selepas konflik 12 hari dengan Israel yang berakhir apabila Amerika Syarikat melancarkan serangan udara hujung minggu lalu ke atas tapak nuklear Iran.
Encik Khamenei berkata Iran "memberi tamparan terhadap Amerika" dengan melancarkan serangan ke atas pangkalan utama Amerika Syarikat di Qatar berikutan serangan udara Amerika Syarikat hujung minggu lalu. Encik Khamenei juga berkata bahawa Iran tidak akan menyerah kalah.
Menurut Encik Trump, beliau menyelamatkan nyawa Encik Khamenei. Pegawai Amerika Syarikat memaklumkan Reuters pada 15 Jun bahawa Encik Trump menggunakan kuasa veto beliau terhadap rancangan Israel untuk membunuh pemimpin tertinggi itu.
“Negaranya sudah dimusnahkan, tiga tapak nuklear kejinya sudah dihapuskan, dan saya tahu dengan tepat di mana dia berlindung, dan tidak membenarkan Israel, atau angkatan tentera Amerika Syarikat, yang jauh lebih hebat dan paling berkuasa di dunia untuk meragut nyawanya,” kata Encik Trump dalam satu catatan di media sosial.
“Saya menyelamatkannya daripada kematian yang sangat buruk dan memalukan,” katanya.
PELEPASAN SEKATAN DIGUGURKAN
Encik Trump juga berkata dalam beberapa hari kebelakangan ini bahawa beliau berusaha untuk kemungkinan menarik balik sekatan terhadap Iran bagi memberi peluang kepada negara itu untuk pulih dengan cepat. Namun, kini beliau mengatakan bahawa usaha tersebut sudah diberhentikan.
“Saya menerima kenyataan penuh kemarahan, kebencian, dan jijik, dan serta-merta menghentikan semua usaha berkaitan pelepasan sekatan, dan lebih daripada itu,” katanya.
Encik Trump turut mengatakan dalam satu sidang media di Rumah Putih bahawa beliau tidak menolak kemungkinan menyerang Iran sekali lagi apabila ditanya mengenai kebarangkalian pengeboman baharu terhadap tapak nuklear Iran jika dirasakan perlu pada masa akan datang.
“Sudah tentu, tanpa soalan, semestinya,” katanya.
TUNTUTAN PEMERIKSAAN
Encik Trump berkata beliau mahu pemeriksa dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) atau pihak lain yang dihormati untuk memeriksa tapak nuklear Iran selepas ia dibom hujung minggu lalu.
Encik Trump berkata beliau percaya tapak-tapak itu sudah “dimusnahkan sepenuhnya.” Beliau menolak sebarang cadangan bahawa kerosakan terhadap tapak-tapak itu tidak seteruk yang beliau dakwa.
Namun, Encik Trump berkata beliau akan menyokong IAEA, pemantau nuklear PBB, untuk masuk dan memeriksa tapak-tapak yang dibom itu.
Ketua agensi tersebut, Rafael Grossi, berkata pada Rabu bahawa memastikan penyambungan semula pemeriksaan IAEA adalah keutamaannya memandangkan tiada pemeriksaan dijalankan sejak Israel memulakan serangan bomnya pada 13 Jun.
Namun begitu, Parlimen Iran meluluskan langkah pada Rabu untuk menggantung pemeriksaan sedemikian. Menteri Luar Iran Abbas Araqchi memberi bayangan pada Jumaat bahawa Tehran mungkin menolak sebarang permintaan oleh ketua agensi itu untuk melawat tapak nuklear Iran.
LANGKAH SETERUSNYA
Encik Trump juga berkata beliau tidak percaya Iran masih mahu mendapatkan senjata nuklear selepas serangan udara Amerika Syarikat dan Israel. Beliau menggambarkan Iran sebagai “keletihan.”
Beliau turut berkongsi bahawa Iran masih mahu berbincang mengenai hala tuju seterusnya. Rumah Putih menyatakan pada Khamis bahawa tiada pertemuan antara delegasi Amerika Syarikat dan Iran dijadualkan setakat ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.