Trump pecat pesuruhjaya Biro Statistik Buruh, cetus kebimbangan mengenai mutu data ekonomi
Mantan pesuruhjaya Biro Statistik Buruh Erika McEntafer (kiri) dan Presiden Amerika Donald Trump. (Gambar fail: LinkedIn/Erika McEntarfer dan Getty Images melalui AFP)
Presiden Trump menuduh Cik McEntarfer, yang dilantik oleh mantan presiden Joe Biden, memalsukan angka pekerjaan.
Tiada bukti untuk menyokong dakwaan Encik Trump tentang manipulasi data oleh BLS, iaitu agensi statistik yang menyusun laporan pekerjaan yang diperhatikan dengan teliti, serta data harga pengguna dan pengeluar.
Ekonomi Amerika hanya mencipta 73,000 pekerjaan pada Julai.
Data untuk Mei dan Jun disemak semula dengan ketara untuk menunjukkan bahawa kurang 258,000 pekerjaan dicipta.
Ini adalah jumlah yang jauh lebih rendah berbanding yang dilaporkan sebelumnya.
"Kita memerlukan angka pekerjaan yang tepat. Saya mengarahkan pasukan saya untuk memecat pelantikan politik Biden ini, SERTA-MERTA.
"Dia akan digantikan dengan seseorang yang lebih cekap dan berkelayakan," kata Encik Trump dalam catatan di Truth Social.
BLS tidak segera memberi respons terhadap permintaan untuk komen.
William Wiatrowski, timbalan pesuruhjaya, akan berkhidmat sebagai pemangku pesuruhjaya.
Pemberhentian pekerja pemerintah persekutuan secara besar-besaran oleh pentadbiran Presiden Trump baru-baru ini menimbulkan kebimbangan tentang mutu data ekonomi Amerika, yang lama dianggap sebagai standard emas.
Ahli ekonomi, kesatuan buruh dan pemimpin Parti Demokrat mengkritik pemecatan itu sebagai percubaan oleh pentadbiran Presiden Trump untuk mengubah data dan memberi amaran tentang kerosakan jangka panjang kepada ekonomi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.