Skip to main content

Dunia

Trump mulakan lawatan ke Timur Tengah, dengan tumpuan pikat pelaburan bertrilion dolar

Presiden Amerika Donald Trump, tiba di Arab Saudi pada Selasa (13 Mei) bagi rangka lawatan selama empat hari ke rantau Teluk yang kaya itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Trump mulakan lawatan ke Timur Tengah, dengan tumpuan pikat pelaburan bertrilion dolar

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Riyadh pada 13 Mei 2025. (Gambar: AFP melalui Istana Diraja Saudi/Bandar Al-Jaloud)

Diterbitkan : 13 May 2025 07:05PM Dikemas Kini : 13 May 2025 08:02PM
RIYADH: Presiden Amerika Donald Trump, tiba di Arab Saudi pada Selasa (13 Mei) bagi rangka lawatan selama empat hari ke rantau Teluk yang kaya itu. Lawatan Encik Trump lebih tertumpu kepada urus niaga ekonomi berbanding isu keselamatan serantau seperti perang di Gaza dan rundingan berkaitan program nuklear Iran.

Dengan kehadiran tokoh-tokoh perniagaan berpengaruh dari Amerika, Encik Trump melawat Riyadh, lokasi Forum Pelaburan Saudi-Amerika Syarikat, sebelum berangkat ke Qatar pada Rabu dan Amiriah Arab Bersatu pada Khamis. Beliau tidak menjadualkan lawatan ke Israel, satu keputusan yang menimbulkan persoalan tentang kedudukan Israel dalam agenda utama Washington.

“Walaupun tenaga kekal sebagai asas hubungan kami, pelaburan dan peluang perniagaan dalam kerajaan ini telah berkembang dan berlipat kali ganda,” kata Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid al-Falih, semasa pembukaan forum tersebut.

“Hasilnya … apabila masyarakat Saudi dan Amerika berganding bahu, perkara yang sangat baik akan berlaku, dan selalunya, perkara yang luar biasa akan tercetus daripada usaha sama itu,” tambahnya sebelum ketibaan Presiden Trump.

Encik Trump pula berharap untuk mendapatkan pelaburan bernilai trilion dolar daripada pengeluar minyak Teluk itu. Arab Saudi sebelum ini berjanji untuk melabur sebanyak AS$600 bilion (S$783.1 bilion), tetapi Encik Trump berkata bahawa beliau mahu AS$1 trilion (S$1.31 trilion) daripada kerajaan Saudi, yang merupakan salah satu sekutu paling penting Washington.

Forum pelaburan Saudi-Amerika dimulakan dengan tayangan video yang memaparkan burung-burung helang yang terbang dengan megah, untuk meraikan sejarah panjang hubungan antara Amerika Syarikat dengan kerajaan Arab Saudi.

Ketua Pegawai Eksekutif BlackRock, Larry Fink, Ketua Pegawai Eksekutif Blackstone, Stephen A. Schwarzman, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Scott Bessent, Menteri Kewangan Arab Saudi Mohammed Al Jadaan dan Khalid al-Falih duduk di bahagian hadapan dewan mewah berkenaan.

Selepas mendarat, Presiden Trump mengangkat tangannya dengan bersemangat apabila beliau melihat Putera Mahkota Mohammed bin Salman, atau MbS, sebelum berjabat tangan dengan pemimpin de facto kerajaan Saudi itu.

MbS telah memberi tumpuan kepada usaha untuk menjadikan ekonomi negaranya kurang bergantung kepada hidrokarbon menerusi program pembaharuan besar, yang dikenali sebagai Wawasan 2030, merangkumi “projek-projek Giga” seperti NEOM, sebuah bandar futuristik sebesar Belgium.

Bagaimanapun, kerajaan itu terpaksa mengurangkan beberapa rancangannya yang berskala besar disebabkan peningkatan kos dan kejatuhan harga minyak.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita