Skip to main content

Dunia

Trump mohon Presiden Israel beri pengampunan kepada Netanyahu atas 3 kes rasuah

Anggaran Waktu Membaca:
Trump mohon Presiden Israel beri pengampunan kepada Netanyahu atas 3 kes rasuah

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bercakap kepada media sebelum berlepas ke Asia dari South Lawn di Rumah Putih, Washington, DC, pada 24 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Kylie Cooper)

Diterbitkan : 13 Nov 2025 07:52AM Dikemas Kini : 13 Nov 2025 07:53AM
BAITULMAKDIS: Presiden Israel, Isaac Herzog, berkata beliau menerima sepucuk surat daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Rabu (12 Nov) yang memohon beliau memberi pengampunan kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang sedang dibicarakan dalam tiga kes rasuah berasingan.

Encik Netanyahu berulang kali menafikan sebarang salah laku dalam perbicaraan yang masih dijalankan itu, dan penyokongnya menolak kes tersebut sebagai bermotifkan politik.

Dalam ucapan kepada parlimen Israel pada Oktober, Encik Trump mencadangkan kepada Encik Herzog agar beliau memberi pengampunan kepada Netanyahu.

“Pagi ini, Presiden Isaac Herzog menerima surat yang dilampirkan daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, yang menggesa beliau menimbangkan untuk memberi pengampunan kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu,” kata pejabat Encik Herzog dalam kenyataannya.

Dalam surat itu, Encik Trump berkata beliau menulis kepada Encik Herzog pada “masa yang bersejarah, sedang kita bersama-sama berjaya mencapai keamanan yang telah dicari selama sekurang-kurangnya 3,000 tahun.”

“Saya dengan ini menyeru anda untuk memberi pengampunan sepenuhnya kepada Benjamin Netanyahu, yang telah menjadi Perdana Menteri yang tegas dan berwibawa semasa waktu perang,” menurut surat itu lagi.

“Saya amat menghormati kebebasan sistem kehakiman Israel... namun saya percaya bahawa ‘kes’ terhadap Bibi ini adalah pendakwaan politik yang tidak wajar,” tambah surat tersebut.

Encik Netanyahu dan isterinya, Sara, dituduh dalam satu kes menerima lebih daripada AS$260,000 (S$338,470) dalam bentuk barangan mewah seperti cerut, barang kemas dan wain berbusa (champagne) daripada para jutawan sebagai balasan untuk layanan politik.

Beliau juga dituduh cuba berunding bagi mendapatkan liputan media yang lebih memihak kepada dirinya daripada dua agensi media Israel dalam dua kes lain.

Kenyataan daripada pejabat Encik Herzog menyebut bahawa presiden Israel itu menyanjung tinggi Encik Trump dan terus menyatakan penghargaan mendalamnya atas sokongan tidak berbelah bahagi Encik Trump terhadap Israel.

“Walau bagaimanapun... mana-mana individu yang ingin memohon pengampunan presiden mesti mengemukakan permohonan rasmi mengikut prosedur yang ditetapkan,” tambah kenyataan itu.

Sepanjang penggalnya sekarang yang bermula pada akhir 2022, Encik Netanyahu mencadangkan pembaharuan kehakiman yang meluas, yang menurut pengkritiknya bertujuan untuk melemahkan institusi kehakiman.

Cadangan itu mencetuskan bantahan besar-besaran yang hanya reda selepas perang Gaza tercetus pada Oktober 2023.

Encik Trump sendiri sejak sekian lama menuduh lawan politiknya menggunakan Jabatan Keadilan untuk menyasar dirinya semasa beliau tidak lagi memegang jawatan presiden.
Sumber : AFP/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita