Skip to main content

Dunia

Trump mohon mahkamah gantung keputusan halang pengerahan Pengawal Negara

Anggaran Waktu Membaca:
Trump mohon mahkamah gantung keputusan halang pengerahan Pengawal Negara

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Oct 2025 07:53PM Dikemas Kini : 18 Oct 2025 07:59PM
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memohon kepada Mahkamah Agung supaya menggantung keputusan sementara oleh mahkamah rendah yang menghalang pengerahan Pengawal Negara ke Chicago dan kawasan sekitarnya.

Wilayah Illinois yang diterajui parti Democrat serta bandar Chicago sebelum ini memfailkan saman mencabar rancangan Encik Trump, dengan alasan bahawa tentera tidak boleh dikerahkan ke wilayah itu tanpa persetujuan mereka.

Pada minggu lalu, sebuah mahkamah persekutuan di Chicago mengeluarkan perintah sementara bagi menghalang pengerahan selama dua minggu.

Pentadbiran Encik Trump kemudian membawa kes itu ke mahkamah rayuan persekutuan, namun mahkamah turut menolak permohonan untuk membenarkan penempatan pasukan berkenaan.

Encik Trump kini memohon bantuan Mahkamah Agung. Sepanjang penggal pertamanya, beliau melantik tiga hakim baharu ke mahkamah tertinggi itu, sekali gus menjadikan keseimbangan ideologi badan kehakiman condong ke arah konservatif.

Pertikaian itu memuncak selepas anggota Pengawal Negara diletakkan di bawah kawalan persekutuan dan dihantar bagi melindungi harta pemerintah serta pegawai persekutuan, termasuk ejen daripada Jabatan Imigresen dan Kastam (ICE).

Sebelum perintah mahkamah dikeluarkan, anggota Pengawal Negara dilihat berada di sebuah kemudahan ICE di pinggir bandar Chicago, lokasi yang menjadi tumpuan tunjuk perasaan berpanjangan terhadap operasi penahanan migran oleh agensi itu.

Di Amerika Syarikat, gabenor negeri lazimnya mempunyai kuasa penuh terhadap unit Pengawal Kebangsaan masing-masing.

Presiden Amerika Syarikat hanya boleh mengambil alih kawalan dalam keadaan peperangan atau darurat nasional. Selain itu, Pengawal Negara biasanya dikerahkan untuk menangani bencana alam, rusuhan atau kecemasan lain.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita