Trump minta bantuan PM Pakistan dalam rundingan damai Afghanistan
Pakistan pada Isnin (3 Dis) menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meminta pertolongannya dalam rundingan damai dengan Afghanistan, satu langkah yang menunjukkan perubahan kepada sikap Encik Trump yang sebelum ini bersikap dingin terhadap Pakistan.
PM Pakistan Imran Khan (kiri) dan Presiden AS Donald Trump (Gambar-gambar: Reuters)
ISLAMABAD: Pakistan pada Isnin (3 Dis) menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meminta pertolongannya dalam rundingan damai dengan Afghanistan. Langkah itu sebahagian daripada usaha dipertingkat oleh Presiden Trump untuk mengakhiri salah satu peperangan paling panjang oleh Amerika Syarikat.
Encik Trump dalam suratnya kepada Perdana Menteri baru Imran Khan, memohon "sokongan dan bantuan" Pakistan dalam rundingan untuk menamatkan peperangan tersebut sambil menawarkan untuk memulihkan hubungan keruh antara kedua-dua negara, menurut kementerian luar Pakistan.
Usaha Encik Trump mendekati Encik Khan itu melambangkan perubahan kepada sikap Encik Trump yang sebelum ini bersikap dingin terhadap Pakistan. Ini menambah kepada spekulasi bahawa Amerika Syarikat bercadang untuk mengundurkan diri dari Afghanistan dalam masa terdekat ini.
Presiden Amerika Syarikat itu sedang berusaha mengakhiri konflik 17 tahun antara pasukan pertahanan pemerintah Afghanistan dan kumpulan Taliban, yang sedang cuba memerangi kuasa antarabangsa dan menubuhkan semula pemerintahan berdasarkan undang-undang Islam tegar semenjak digulingkan pada 2001.
"Beliau meminta kerjasama Pakistan untuk mengajak Taliban berunding," kata Menteri Penerangan Fawad Chaudry kepada Reuters.
Tambah menteri itu, Encik Trump memberitahu Encik Khan bahawa hubungan dengan Pakistan adalah amat penting buat Amerika Syarikat dan dalam mencari huraian konflik Afghanistan.
Kedutaan Amerika Syarikat di Islamabad tidak mempunyai komen berhubung surat itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.