Trump mengaku guna kata kesat terhadap Netanyahu
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengadakan sidang akhbar selepas bertemu di kelab Mar-a-Lago Trump di Palm Beach, Florida, pada 29 Disember 2025. (Gambar fail: REUTERS/Jonathan Ernst)
Dalam satu temu bual yang diterbitkan pada Rabu (3 Jun) di New York Post, Encik Trump ditanya tentang perbualannya dengan Encik Netanyahu melalui telefon pada Isnin.
"Anda kata, 'Are you f-ing crazy? What are you f-ing doing?' Saya dah tolong awak elak masuk penjara.' Betul ke? Adakah anda bercakap dengannya dengan kata-kata itu?" tanya wartawan itu.
"Betul," jawab Encik Trump. "Saya agak terganggu kerana dia masih terus berperang dengan Lubnan."
"Saya kata, 'Bibi, kita mesti hentikannya.'"
Encik Trump seterusnya berkata beliau mempunyai "hubungan yang sangat mesra" dengan Encik Netanyahu. "Kita berjaya bersama... Saya sangat menyukai Bibi."
Encik Trump mengeluarkan kata-kata kesat mengenai ancaman Israel untuk mengebom ibu kota Lubnan, Beirut, kerana bimbang ia akan menjejaskan rundingan dengan Tehran untuk menamatkan perang di Timur Tengah, lapor saluran berita Axios dan ABC News.
Perbualan itu menggariskan hubungan goyah antara dua sekutu sayap kanan itu yang memulakan perang dengan melancarkan serangan ke atas Iran pada akhir Februari yang kemudian mendorong Israel menyerang Lubnan.
Media Israel menolak laporan tentang perbualan itu.
Seorang pegawai Rumah Putih merujuk AFP kepada catatan Encik Trump di Truth Social pada Isnin di mana beliau mengucapkan terima kasih kepada Encik Netanyahu atas apa yang dikatakannya sebagai perjanjian untuk mengundurkan tenteranya dari Beirut.
Iran dilaporkan menggantung rundingan damai berkenaan kerana serangan Israel ke atas Lubnan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.