Trump masih berteka-teki mengenai tindakan Amerika terhadap Iran
Presiden Amerika Donald Trump membiarkan seluruh dunia tertanya-tanya tentang sama ada Amerika Syarikat akan menyertai Israel dalam melakukan serangan terhadap tapak-tapak nuklear Iran.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memegang topi 'Make America Great Again' (MAGA) semasa menghadiri majlis graduasi di Akademi Tentera West Point di West Point, New York, Amerika Syarikat pada 24 Mei 2025. (Gambar fail: REUTERS/Eduardo Munoz)
Ini sedang konflik Israel-Iran memasuki hari ketujuh pada Khamis (19 Jun).
Bercakap kepada para wartawan di luar Rumah Putih, Encik Trump enggan berkata jika beliau sudah membuat keputusan tentang sama ada Amerika akan menyertai kempen Israel.
"Saya mungkin akan lakukannya. Saya mungkin tidak. Maksud saya, tiada sesiapa pun tahu apa yang akan saya lakukan," katanya.
Encik Trump dalam komen selepas itu berkata pihak berkuasa Iran ingin datang ke Washington untuk mengadakan perbincangan dan "kami mungkin akan lakukannya". Namun beliau menambah, "agak terlambat" untuk mengadakan rundingan tersebut.
Para menteri luar Jerman, Perancis dan Britain merancang untuk mengadakan rundingan nuklear bersama rakan sejawatan mereka dari Iran pada Jumaat (20 Jun) di Geneva yang bertujuan menggesa Iran supaya memberi jaminan kukuh bahawa ia hanya akan menggunakan program nuklearnya bagi tujuan awam, menurut sumber diplomatik Jerman kepada Reuters.
Namun sedang usaha diplomatik diteruskan, segelintir penduduk Tehran iaitu bandar seramai 10 juta penduduk, pada Rabu mencetuskan kesesakan di lebuh raya menghala ke luar bandar sedang mereka berlindung daripada serangan udara Israel yang diperhebatkan.
Laporan Wall Street Journal menyatakan Encik Trump sudah memaklumkan kepada para penasihat kanannya bahawa beliau meluluskan rancangan serangan terhadap Iran, namun belum lagi memberikan arahan muktamad kerana beliau ingin melihat jika Tehran akan meninggalkan program nuklearnya.
Apabila ditanya mengenai pendapatnya sama ada pemerintah Iran akan tumbang akibat kempen Israel, Encik Trump berkata: "Mungkin, apa-apa boleh berlaku."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.