Trump mahu perjanjian tamatkan perang Rusia-Ukraine dipersetujui sebelum 8 Ogos
Presiden Amerika Donald Trump, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dan Presiden Rusia Vladimir Putin. (Gambar: AP/Aurelien Morissard, Pavel Bednyakov)
Amerika memaklumkan perkara itu kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis (31 Jul).
"Kedua-dua Rusia dan Ukraine mesti merundingkan gencatan senjata dan keamanan yang berkekalan. Sudah tiba masanya untuk membuat perjanjian. Presiden Trump telah menegaskan bahawa ia mesti dilakukan selewat-lewatnya 8 Ogos.Amerika Syarikat bersedia untuk melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk menjamin keamanan," kata diplomat kanan Amerika John Kelley kepada 15 anggota majlis itu.
Encik Trump berkata pada Selasa (29 Jul) bahawa Amerika Syarikat akan mula mengenakan tarif dan langkah lain ke atas Rusia "10 hari dari hari ini" jika Mosko tidak menunjukkan kemajuan ke arah usaha untuk menamatkan perangnya di Ukraine.
Kyiv dan Mosko telah mengadakan tiga pusingan rundingan di Istanbul pada tahun ini yang menghasilkan pertukaran banduan dan mayat, tetapi tiada kejayaan untuk menamatkan konflik yang sudah berlarutan lebih tiga tahun itu.
"Kami berhasrat untuk meneruskan rundingan di Istanbul," kata Timbalan Duta Besar Rusia ke PBB Dmitry Polyanskiy kepada majlis itu, tetapi menambah: "Walaupun sudah mengadakan mesyuarat di Istanbul, di Barat ... Kami masih mendengar suara mereka yang berpendapat bahawa diplomasi hanyalah satu cara untuk mengkritik Rusia dan memberi tekanan ke atas kami."
Timbalan Duta Besar Ukraine ke PBB Khrystyna Hayovyshyn berkata Rusia mesti bersedia untuk mempersetujui "perpaduan, keazaman dan tindakan."
"Kami mencari keamanan yang menyeluruh, adil dan berkekalan berdasarkan prinsip Piagam PBB. Kami mahukan - gencatan senjata penuh, segera dan tanpa syarat dan ini penting. Ia adalah langkah pertama untuk menghentikan perang dan pencerobohan Rusia terhadap Ukraine," katanya kepada majlis itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.