Skip to main content

Dunia

Trump larang rakyat dari 12 negara masuk Amerika Syarikat

Anggaran Waktu Membaca:
Trump larang rakyat dari 12 negara masuk Amerika Syarikat

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Pejabat Bundar di Rumah Putih, Washington DC, pada 8 Mei 2025. (Gambar: REUTERS/Leah Millis)

Diterbitkan : 05 Jun 2025 07:24PM Dikemas Kini : 05 Jun 2025 07:26PM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu (4 Jun) menandatangani satu perisytiharan yang melarang rakyat dari 12 negara memasuki Amerika Syarikat, dengan menyatakan langkah itu diperlukan untuk melindungi negara daripada "pengganas asing" dan ancaman keselamatan lain.

Negara-negara yang terjejas ialah Afghanistan, Myanmar, Chad, Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yaman.

Kemasukan bagi individu dari tujuh negara lain: Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela, akan dihadkan sebahagiannya.

"Kami tidak akan membenarkan orang yang berniat jahat memasuki negara kami," kata Encik Trump dalam video yang dimuat naik di X. Beliau berkata senarai itu boleh disemak semula dan negara baharu boleh ditambah apabila ancaman muncul di seluruh dunia.

ProklamaPerisytiharan itu berkuat kuasa pada 9 Jun pukul 12.01 pagi Waktu Timur. Visa yang dikeluarkan sebelum tarikh tersebut tidak akan dibatalkan, menurut perintah itu.

Pengecualian kepada larangan perjalanan itu termasuk:

  • Mana-mana penduduk tetap sah Amerika Syarikat
  • Dwikewarganegaraan
  • Diplomat yang melakukan perjalanan dengan visa bukan imigran yang sah
  • Atlit atau anggota pasukan atletik dan saudara terdekat, yang melakukan perjalanan untuk Piala Dunia, Olimpik, atau acara sukan utama lain
  • Visa imigran keluarga terdekat
  • Pengambilan anak angkat
  • Visa Imigran Khas Afghanistan
  • Visa Imigran Khas untuk pekerja pemerintah Amerika Syarikat
  • Visa imigran bagi etnik dan minoriti agama yang berdepan penganiayaan di Iran

Encik Trump berkata negara-negara yang tertakluk kepada sekatan paling teruk dikenal pasti sebagai tempat perlindungan bagi "sejumlah besar pengganas", gagal bekerjasama dari segi keselamatan visa dan tidak berupaya untuk mengesahkan identiti pelancong, penyimpanan rekod sejarah jenayah yang tidak mencukupi dan kadar tinggi pemegang visa yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Amerika Syarikat.

Negara-negara yang berdepan larangan sepenuhnya didapati "kekurangan dalam saringan dan pemeriksaan serta dikenap pasti sebagai menimbulkan risiko yang sangat tinggi kepada Amerika Syarikat," menurut kenyataan yang diberikan oleh Rumah Putih.

"Kami tidak boleh mempunyai dasar migrasi terbuka dari mana-mana negara di mana kami tidak dapat menyaring dan memeriksa dengan selamat dan boleh dipercayai mereka yang ingin memasuki Amerika Syarikat," kata Trump.

Beliau memetik insiden Ahad di Boulder, Colorado, di mana seorang lelaki membaling bom petrol ke arah sekumpulan penunjuk perasaan yang menyokong Israel sebagai contoh mengapa sekatan baharu itu diperlukan.

Seorang warga Mesir, Mohamed Sabry Soliman, telah didakwa dalam serangan itu. Pegawai persekutuan berkata Soliman telah melebihi tempoh visa pelancongnya dan mempunyai permit kerja yang tamat tempoh – walaupun Mesir tidak termasuk dalam senarai negara yang menghadapi had perjalanan.

"Serangan pengganas baru-baru ini di Boulder, Colorado telah menekankan bahaya ekstrem yang ditimbulkan kepada negara kita oleh kemasukan warga asing yang tidak diperiksa dengan betul," kata Encik Trump dalam mesej video dari Pejabat Bundar yang dimuat naik di X.

"Kami tidak mahukan mereka."

Encik Trump membandingkan langkah baharu itu dengan larangan "tegas" yang dikenakan terhadap beberapa negara majoriti Muslim pada penggal pertamanya, yang menurutnya telah menghentikan Amerika Syarikat daripada mengalami serangan yang berlaku di Eropah.

"Kami tidak akan membiarkan apa yang berlaku di Eropah berlaku di Amerika," kata Encik Trump.

Sumber : Agensi berita/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita