Trump lantik sekutu tanpa pengalaman keselamatan negara sebagai pengarah perisikan
Presiden Donald Trump pada Selasa (1 Jun) melantik seorang penyokong setianya yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang keselamatan negara untuk menerajui perisikan Amerika Syarikat - dan berkata bahawa beliau juga akan mengekalkan jawatan sedia ada individu tersebut, yang menyelia dasar perumahan dan gadai janji persekutuan.
Bill Pulte (paling kiri) bersama Presiden Amerika Syarikat Donlad Trump dan beberapa kakitangan pentadbiran tersebut semasa lawatan ke Rizab Persekutuan di Washington, pada 24 Julai 2025. (Gambar: AP/Julia Demaree Nikhinson)
Ketua Agensi Kewangan Perumahan Persekutuan, Bill Pulte - yang dikenali kerana tindakannya yang secara terbuka menyerang seteru politik Encik Trump - dinamakan sebagai Pemangku Pengarah Perisikan Negara (DNI), menggantikan Tulsi Gabbard.
Cik Gabbard, yang pelantikannya sendiri sebelum ini mencetuskan kontroversi, meletak jawatan pada penghujung Mei, sekali gus menamatkan tempoh perkhidmatannya, yang menunjukkan perbezaan pendapat antara beliau dengan Encik Trump berhubung perang dengan Iran.
DNI - yang mengetuai komuniti perisikan Amerika Syarikat dan berfungsi sebagai penasihat utama presiden dalam isu-isu perisikan - diperlukan dari segi undang-undang untuk mempunyai “kepakaran meluas dalam keselamatan negara”, yang tidak dimiliki Encik Pulte.
Encik Trump memuji Encik Pulte dalam satu catatan media sosial yang mengumumkan pelantikan tersebut, sambil mengatakan bahawa beliau “mempunyai pengalaman mendalam dalam menguruskan perkara-perkara paling sensitif di Amerika, iaitu keselamatan dan kestabilan Pasaran”.
Presiden itu menambah bahawa Encik Pulte, yang turut mengetuai syarikat gadai janji gergasi Fannie Mae dan Freddie Mac, akan terus memegang jawatan berkaitan perumahan tersebut.
Encik Pulte, 38 tahun, digambarkan oleh sesetengah media Amerika Syarikat sebagai “penyokong tegar” presiden.
Encik Pulte menuduh Senator Democrat Adam Schiff dan Peguam Negara New York Letitia James memalsukan dokumen dalam permohonan gadai janji mereka.
The Wall Street Journal melaporkan bahawa menurut satu aduan dalaman di Fannie Mae, Encik Pulte mengakses rekod gadai janji James dan beberapa pegawai Democrat lain secara tidak wajar.
Juri besar persekutuan mendakwa James pada Oktober, namun kes itu digugurkan tanpa prejudis - yang bermakna pertuduhan boleh difailkan semula - sebulan kemudian oleh seorang hakim persekutuan.
"BALAS DENDAM POLITIK"
Encik Pulte juga menyokong kes penipuan gadai janji terhadap Gabenor Rizab Persekutuan Amerika Syarikat Lisa Cook, yang menjadi asas kepada percubaan Encik Trump untuk memecat penggubal dasar kewangan tersebut. Kes itu kini masih menunggu keputusan Mahkamah Agung.
Sebagai waris kepada empayar pembinaan rumah keluarganya, Encik Pulte mencetuskan perpecahan pendapat, termasuk dalam kalangan penyokong Encik Trump sendiri, disebabkan oleh tindakannya yang agresif dan terbuka dalam arena politik.
Anggota Kongres Democrat Amerika Syarikat mengkritik kekurangan pengalaman Encik Pulte serta rekodnya yang sering menyasarkan lawan politik Encik Trump.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Senat, Mark Warner, berkata Encik Pulte kelihatan dipilih “kerana Rumah Putih percaya beliau akan menyampaikan naratif yang dikehendakinya, bukannya maklumat perisikan yang diperlukan negara”.
“Presiden telah memilih seorang pegawai yang bukan sahaja menunjukkan kesediaan, malah keghairahan untuk menggunakan kuasa pemerintah untuk membalas dendam dari segi politik,” kata Encik Warner dalam satu kenyataan.
Ketua Democrat Senat, Chuck Schumer, pula berkata di Dewan Senat bahawa seseorang yang sanggup memfailkan “tuduhan tidak berasas, bermotif politik dan keterlaluan terhadap pemegang jawatan awam yang tidak disukainya tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk melindungi keselamatan negara kita”.
Naib Presiden JD Vance pula tampil mempertahankan Encik Pulte dengan menggambarkannya dalam satu catatan media sosial sebagai “seorang yang hebat yang memahami bahawa birokrasi komuniti perisikan mesti bertindak balas kepada kepimpinan yang dipilih rakyat (dan bukannya sebaliknya)”.
Pentadbir Pusat Perkhidmatan Medicare dan Medicaid, Mehmet Oz, enggan mengulas mengenai kelayakan Encik Pulte semasa satu taklimat di Rumah Putih pada Selasa.
Encik Pulte sebelum ini memecat para pegawai pemantau etika dalaman yang sedang menyiasat sekutunya sendiri, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai usaha untuk menamatkan dasar kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) - yang cuba dihapuskan Encik Trump daripada pemerintah Amerika Syarikat - di Fannie Mae.
Dalam bidang pembiayaan perumahan, beliau menyokong pengenalan gadai janji selama 50 tahun di Amerika Syarikat, satu cadangan yang mencetuskan kemarahan ramai dalam gerakan MAGA.
Encik Pulte juga berselisih dengan keluarganya mengenai masa depan syarikat PulteGroup milik mereka dan meninggalkan lembaga pengarah syarikat itu pada 2020.
Media Amerika Syarikat turut melaporkan bahawa beliau juga mempunyai hubungan yang renggang dengan beberapa individu dalam lingkaran dalaman Encik Trump.
Pada 2025, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent mengancam untuk menumbuk Encik Pulte semasa satu majlis makan malam di sebuah kelab persendirian, menurut laporan The Wall Street Journal dan Politico.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.