Trump kutuk perkauman, pelampau kulit putih selepas 2 tembakan beramai-ramai AS
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin (5 Ogos) mengecam perkauman dan ideologi pelampau kulit putih sedang negara itu meratapi kematian 31 orang dalam dua serangan tembakan beramai-ramai hujung minggu lalu.

Encik Donald Trump menyampaikan ucapan tentang serangan tembakan beramai-ramai yang berlaku pada awal Ogos (Gambar: AFP)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin (5 Ogos) mengecam perkauman dan ideologi pelampau kulit putih sedang negara itu meratapi kematian 31 orang dalam dua serangan tembakan beramai-ramai hujung minggu lalu. Beliau berkata demikian sebagai menepis kritikan bahawa retorik yang digunakannya bagi menentang kemasukan pendatang asing mencetuskan keganasan.
Namun sedang Amerika Syarikat cuba memahami kejadian tembakan beramai-ramai yang meragut nyawa 22 orang di El Paso, Texas dan lagi sembilan di Dayton, Ohio itu, Encik Trump tidak menawarkan sebarang idea baru bagi negara yang mempunyai pemilikan senjata api berleluasa dan sudah terbiasa dengan kejadian tembakan beramai-ramai.
"Ideologi jahat ini mesti ditumpaskan," kata Encik Trump di Rumah Putih. "Tiada ruang untuk kebencian di Amerika. Kebencian merosakkan minda dan hati serta menggelapkan jiwa. "
"Negara kita mesti mengutuk perkauman, ketaksuban dan ideologi melampau kulit putih," tambah Encik Trump.
Beliau menegaskan bahawa penyakit mental adalah punca utama serangan tembakan beramai-ramai di Amerika, bukan berleluasanya senjata api mahupun pemikiran ekstremis.
PUNCANYA PEMIKIRAN MELAMPAU, BUKAN SAKIT MENTAL: OBAMA
Namun dalam satu campur tangan dalam isu politik yang jarang berlaku, mantan presiden Barack Obama berkata retorik yang bersifat memecah-belahkan oleh para pemimpin Amerika Syarikat adalah sebahagian daripada masalah itu.
"Kita sepatutnya menolak kata-kata yang diungkapkan mana-mana pemimpin kita yang mencetuskan suasana ketakutan dan kebencian atau menjadikan sentimen perkauman satu perkara biasa," kata Encik Obama dalam satu kenyataan.
Menteri Luar Mexico, Marcelo Ebrard, mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu sebagai "tindakan pengganasan" terhadap warga-warga negaranya. Mendedahkan nama-nama mangsa, beliau berkata lapan orang maut dan bukan tujuh.
Di Twitter pada Sabtu, Encik Trump menyifatkan serangan El Paso sebagai satu "tindakan pengecut."
Namun para pengkritik mengatakan kebiasaan presiden itu menggunakan kata-kata menghina terhadap para pendatang menyebabkan kebencian terhadap orang asing kini merebak ke arus perdana politik dan menggalakkan pemikiran melampau kulit putih.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.