Skip to main content

Dunia

Trump: Korea Utara musnahkan tapak ujian, 'pelucutan senjata sepenuhnya' sudah bermula

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata bahawa Korea Utara sedang menghapuskan empat tapak ujian besarnya dan proses "pelucutan senjata sepenuhnya sudah mula dijalankan".

Anggaran Waktu Membaca:
Trump: Korea Utara musnahkan tapak ujian, 'pelucutan senjata sepenuhnya' sudah bermula

Presiden Donald Trump mengadakan satu sidang media sebelum mesyuarat kabinet di Rumah Putih. (Gambar: Olivier Douliery/AFP)

Diterbitkan : 22 Jun 2018 09:41AM Dikemas Kini : 22 Jun 2018 10:47AM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata bahawa Korea Utara sedang menghapuskan empat tapak ujian besarnya dan proses "pelucutan senjata sepenuhnya sudah mula dijalankan".

Berucap dalam mesyuarat Kabinetnya di Rumah Putih hari ini (22 Jun), Presiden Trump berkata: "Mereka tidak lagi melancarkan sebarang ujian peluru berpandu. Mereka sudah merobohkan kemudahannya. Malah empat tapak ujian terbesarnya sudah dimusnahkan."

"Perkara yang paling penting adalah mereka akan melucutkan senjata sepenuhnya. Ini sudahpun mula dijalankan."

Ditanya pada Rabu (20 Jun) tentang perkembangan Korea Utara dalam proses pelucutan senjata sejak sidang puncak bersejarah antara Presiden Trump dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, Setiausaha Pertahanan Amerika Jim Mattis memberitahu para wartawan:

"Tidak, saya belum dimaklumkan. Jelas, proses baru dimulakan. Perundingan secara terperinci belum lagi dijalankan. Saya tidak menjangkakan itu buat masa ini."

Encik Mattis duduk bersebelahan Presiden Trump dalam mesyuarat Kabinet semalam (21 Jun).

Menurut satu analisis pada hujung minggu lalu, tiada tanda-tanda bahawa Korea Utara sedang menjalankan kerja merobohkan Sohae mahupun tapak ujian yang lain.

Presiden Trump yang menggesa Korea Utara untuk melucutkan senjata nuklearnya memberitahu para wartawan selepas sidang puncak yang berlangsung pada 12 Jun bahawa Encik Kim berikrar akan menghapuskan salah satu tapak ujiannya.

Seorang pegawai Amerika Syarikat pada Rabu (20 Jun) berkata tapak ujian yang dimaksudkan Presiden Trump merujuk kepada Tapak Pelancaran Satelit Sohae, satu kemudahan besar di barat negara itu yang sering digunakan untuk melakukan ujian peluru berpandu jarak jauh.

Sebelum sidang puncak yang berlangsung di Singapura, Korea Utara mengumumkan penggantungan ujian peluru berpandu atau ICBM dan menutup tapak ujian bom nuklearnya. Para pegawai Amerika, bagaimanapun, memberi amaran bahawa Korea Utara mungkin akan menarik balik keputusannya. 

Sumber : Reuters/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita