Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump, Kim dalam perjalanan ke Vietnam bagi sidang puncak kedua

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berlepas ke Hanoi pada Isnin (25 Feb) bagi menghadiri sidang puncak kedua, dengan seluruh dunia menantikan sama ada pemimpin Amerika Syarikat itu boleh membawa huraian kepada ancaman nuklear dari Pyongyang.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump, Kim dalam perjalanan ke Vietnam bagi sidang puncak kedua

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijangka tiba di Hanoi pada 26 Februari 2019 bagi sidang puncak bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. (Gambar: Evan Vucci/AP)

Diterbitkan : 26 Feb 2019 08:31AM Dikemas Kini : 26 Feb 2019 08:37AM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berlepas ke Hanoi pada Isnin (25 Feb) bagi menghadiri sidang puncak kedua, dengan seluruh dunia menantikan sama ada pemimpin Amerika Syarikat itu boleh membawa huraian kepada ancaman nuklear dari Pyongyang.

Menulis di laman Twitternya dari pesawat Air Force One, Encik Trump berkata beliau "mengalu-alukan sidang puncak yang dapat membuahkan hasil."

Awal sebelum itu, Encik Trump menekankan pendiriannya mengenai mengapa Korea Utara harus melucutkan senjata nuklear negara itu.

Sidang puncak Hanoi diadakan selepas Encik Trump dan Encik Kim mengadakan pertemuan di Singapura pada tahun lalu, di mana mereka bersetuju Korea Utara perlu melucutkan senjata nuklearnya. Bagaimanapun, tiada kemajuan dicapai dengan kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan syarat-syarat di sebalik perjanjian tersebut.

Sidang puncak yang dijadual diadakan pada Rabu (27 Feb) dan Khamis (28 Feb) akan memberikan mereka peluang kedua untuk mencapai kemajuan berhubung usaha tersebut.

Encik Trump berlepas ke Hanoi pada sebelah tengah hari pada Isnin (25 Feb) sedang sebuah kereta api yang membawa Encik Kim dan para anggota delegasinya juga dalam perjalanan ke Vietnam melalui China.

Stesen kereta api yang terletak di sempadan yang memisahkan Vietnam dan China, di mana Encik Kim dijangka tiba, ditutup pada Isnin (25 Feb).

Menurut sumber-sumber di Vietnam, Encik Kim mungkin akan tiba di stesen kereta api Dong Dang di sempadan itu pada awal hari ini (26 Feb), selepas melakukan perjalanan sejauh 4,000 kilometer yang mengambil masa selama dua setengah hari.

Dengan kedua-dua pemimpin itu kini dalam perjalanan ke Hanoi, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres berkata beliau berharap kedua-dua pemimpin itu akan mencapai persetujuan mengenai perkara-perkara penting.

"Saya berharap agar para pemimpin itu... bersetuju terhadap langkah-langkah kukuh bagi melucutkan senjata nuklear di Semenanjung Korea secara mampan, damai dan menyeluruh," kata Encik Guterres semasa menyampaikan ucapan di Geneva.

Sedang Pyongyang dan Washington mengambil pendekatan teliti bagi sidang puncak itu, Seoul pula menaruh harapan agar Encik Trump dan Encik Kim dapat mengisytiharkan berakhirnya Perang Korea 1950-53 selepas Korea Selatan menyatakan bahawa kedua-dua pemimpin itu mungkin mencapai satu persetujuan.

Encik Trump dijangka tiba di ibu kota Vietnam itu pada sebelah petang hari ini (26 Feb), waktu tempatan.  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan