Skip to main content

Dunia

Trump kerah kapal selam nuklear susuli kenyataan provokatif mantan presiden Rusia

Anggaran Waktu Membaca:
Trump kerah kapal selam nuklear susuli kenyataan provokatif mantan presiden Rusia

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyampaikan ucapan kepada seluruh negara dengan diiringi Naib Presiden JD Vance, Setiausaha Negara Marco Rubio dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, di Rumah Putih di Washington, D.C., pada 21 Jun 2025, berikutan serangan Amerika ke atas kemudahan nuklear Iran. (Gambar: REUTERS/Carlos Barria/Pool/Foto Fail)
02 Ogos 2025.

Diterbitkan : 02 Aug 2025 07:20AM Dikemas Kini : 02 Aug 2025 07:24AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Jumaat (1 Ogos) bahawa beliau telah mengerahkan dua kapal selam nuklear untuk ditempatkan semula ke "kawasan yang sesuai" sebagai tindak balas terhadap ancaman baru-baru ini daripada mantan Presiden Rusia Dmitry Medvedev.

"Saya telah mengerahkan dua kapal selam nuklear ditempatkan di kawasan yang sesuai, sekiranya kenyataan bodoh dan menghasut ini adalah lebih daripada itu," tulis Encik Trump di media sosial.

Encik Trump menyifatkan kenyataan Encik Medvedev baru-baru ini sebagai "sangat provokatif" dan memberi amaran bahawa "kata-kata yang diungkapkan adalah sangat penting, dan kadangkala boleh membawa padah yang tidak diingini. Saya berharap ini tidak akan menjadi salah satu daripada kejadian itu."

Tindakan itu menandakan peningkatan terbaharu dalam retorik antara kedua-dua pemimpin itu, yang saling mengkritik satu sama lain terhadap perang berterusan Rusia di Ukraine.

Pada Selasa lalu, Encik Trump memberi Mosko tarikh akhir selama 10 hari untuk bersetuju dengan gencatan senjata atau menghadapi tarif baharu Amerika ke atas minyak Rusia dan negara-negara yang membelinya.

Encik Trump bagaimanapun tidak pula menjelaskan sama ada kapal selam itu berkuasa nuklear atau bersenjatakan senjata nuklear.

Tentera Laut Amerika juga enggan mengulas mengenai perkara itu, dan Pentagon tidak menjawab pertanyaan media.

Rusia tidak menunjukkan sebarang kesediaan untuk memenuhi syarat-syarat Encik Trump dan terus mengusulkan tuntutan keamanannya sendiri.

Encik Medvedev, yang kini Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Rusia, bertindak balas dengan menuduh Encik Trump bermain "permainan kata dua" dan mengingatkan pemimpin Amerika itu tentang keupayaan nuklear Rusia yang diwarisi daripada zaman Soviet Union..

Kremlin tidak secara langsung mengulas mengenai langkah terbaharu Encik Trump, tetapi kenyataan Encik Medvedev telah mendapat liputan meluas daripada negara Rusia.

Setelah dilihat sebagai tokoh yang lebih sederhana, Encik Medvedev sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menjadi salah seorang penyokong tegar anti-Barat yang paling lantang di Mosko, sering mengeluarkan kenyataan yang disifatkan oleh para pengkritik Kremlin sebagai melulu.

Presiden Rusia Vladimir Putin berkata pada Jumaat (1 Ogos) bahawa walaupun Mosko mengalu-alukan lebih banyak rundingan damai dengan Ukraine, momentum di medan perang masih memihak kepada Rusia.
Sumber : Reuters/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita