Skip to main content

Dunia

Trump kenakan tarif 50% ke atas Brazil, arah siasatan terhadap amalan dagang tidak adil

Anggaran Waktu Membaca:
Trump kenakan tarif 50% ke atas Brazil, arah siasatan terhadap amalan dagang tidak adil

Kontena-kontena terletak di Port of Los Angeles, di San Pedro, California, Amerika Syarikat, 8 Jul, 2025. (Gambar fail: Reuters/Daniel Cole)

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Rabu (10 Jul) mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas eksport Brazil ke Amerika, serta mengarahkan siasatan mengenai amalan perdagangan tidak adil yang boleh membawa kepada tarif yang lebih tinggi lagi.

Encik Trump menetapkan kadar tarif tersebut berkuat kuasa 1 Ogos - jauh lebih tinggi daripada cukai 10 peratus yang dikenakan ke atas Brazil pada 2 April - dalam sepucuk surat tarif kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, yang meluahkan kemarahan terhadap perbicaraan mantan presiden berhaluan kanan, Jair Bolsonaro.

Sambil mengkritik apa yang digelarnya sebagai serangan Brazil terhadap pilihan raya bebas dan kebebasan bersuara, serta “arahan penapisan rahsia dan haram kepada platform media sosial Amerika”, Encik Trump turut mengarahkan pejabat Wakil Perdagangan Amerika (USTR) untuk membuka siasatan di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 terhadap dasar perdagangan Brazil.

Siasatan ini berpotensi membawa kepada tarif tambahan ke atas eksport Brazil ke Amerika.

Langkah keras Encik Trump terhadap Brazil berlaku ketika pentadbirannya semakin hampir mencapai perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah, iaitu rakan dagang terbesarnya.

Sebelum itu, Encik Trump menerusi platform media sosialnya, Truth Social, mengeluarkan notis tarif berkuat kuasa 1 Ogos kepada tujuh rakan dagang kecil: tarif 20 peratus ke atas barangan dari Filipina, 30 peratus ke atas barangan dari Sri Lanka, Algeria, Iraq, dan Libya, serta 25 peratus ke atas Brunei dan Moldova.

Negara-negara ini hanya menyumbang kurang daripada AS$15 bilion (S$19.2 bilion) dalam jumlah import Amerika pada 2024 - satu bahagian kecil dalam defisit perdagangan Amerika.

Sebaliknya, Brazil merupakan rakan dagang ke-15 terbesar Amerika, dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak AS$92 bilion (S$117.7 bilion) pada 2024, termasuk lebihan perdagangan Amerika yang jarang berlaku sebanyak AS$7.4 bilion (S$9.5 bilion).

Namun, surat Encik Trump kepada Encik Lula menggambarkan hubungan perdagangan Brazil sebagai “amat tidak adil”.

Encik Lula pada Rabu menyatakan bahawa negaranya akan bertindak balas.

“Sebarang langkah untuk menaikkan tarif secara sepihak akan dibalas mengikut Undang-Undang Balasan Ekonomi Brazil,” menurut pejabat Encik Lula dalam kenyataannya.

Surat-surat terbaharu ini menambah kepada 14 surat lain yang dikeluarkan awal minggu ini, termasuk tarif 25 peratus terhadap pembekal utama Amerika seperti Korea Selatan dan Jepun, yang juga dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Ogos kecuali jika perjanjian perdagangan dicapai sebelum itu.

Surat-surat ini dikeluarkan sehari selepas Trump mengumumkan peluasan perang perdagangannya, termasuk tarif 50 peratus ke atas tembaga import, serta pengenalan tarif terhadap semikonduktor dan ubat-ubatan, yang sudah lama diancam.

Langkah-langkah pantas Encik Trump dalam mengenakan tarif menimbulkan ketidakpastian ekonomi global dan melumpuhkan keputusan perniagaan.
Sumber : Agensi berita/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita