Trump kelam kabut selepas komen "negara jahanam" cetus kemarahan global
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kelam kabut membendung kemarahan masyarakat global terhadap komennya yang mengkritik imigrasi dari "negara-negara jahanam".
Gambar fail Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kelam kabut membendung kemarahan masyarakat global terhadap komennya yang mengkritik imigrasi dari "negara-negara jahanam".
Komennya itu dikecam teruk dan dikatakan sebagai "bersifat perkauman" oleh rakyat Amerika dan juga masyarakat dunia.
Awal semalam (12 Jan) Encik Trump berbelit-belit menafikannya menerusi satu catatan tweet mengenai komen-komen yang didakwa dibuat semasa mesyuarat Rumah Putih dengan para penggubal undang-undang berhubung isu pembaharuan imigrasi.
"Bahasa yang digunakan oleh saya semasa mesyuarat DACA keras, tetapi ini bukanlah bahasa yang digunakan," kata Encik Trump, merujuk kepada komen yang dipetik oleh The Washington Post dan The New York Times.
Namun Senator Demokratik Dick Durbin - yang menghadiri mesyuarat tersebut - secara terbuka menolak kenyataan Encik Trump dengan berkata Presiden Amerika Syarikat itu berulang kali menggunakan bahasa yang "kesat dan bersifat perkauman".
Mesyuarat Rumah Putih yang diadakan pada hari Khamis (11 Jan) itu adalah untuk membincangkan perjanjian dua pihak yang akan menghalang para pendatang daripada membawa anggota keluarga mereka ke negara itu, menyekat status penduduk tetap dan memperketat kawalan keselamatan di sempadan.
Ini, sebagai pertukaran bagi perlindungan yang diberikan kepada ratusan ribu pendatang muda yang dipanggil "Dreamers" daripada dihantar balik ke negara asal.
Setelah para penggubal undang-undang membangkitkan isu perlindungan bagi para pendatang dari negara-negara di Afrika, Haiti dan juga El Salvador, Encik Trump dilaporkan menuntut untuk mengetahui mengapa Amerika Syarikat perlu menerima pendatang daripada "negara-negara jahanam" berbanding negara lain - contohnya - Norway, yang kaya dan ramai penduduk berkulit putih.
Encik Durbin berkata Encik Trump secara khusus bertanya, "Adakah kita memerlukan lebih ramai penduduk Haiti?" sebelum menghamburkan kata-kata nista terhadap imigresen Afrika.
Encik Trump kemudian "berkata tentang perkara-perkara lain, dengan penuh kebencian, kesat serta bersifat perkauman", kata Encik Durbin, sambil menambah "jahanam" adalah perkataan yang memang digunakan oleh presiden Amerika itu, bukan sekali tetapi berulang kali".
Encik Trump bagaimanapun menafikan bahawa beliau menghamburkan "sebarang hinaan" tentang penduduk Haiti.
"Ia direka-reka," menurut catatan tweet Encik Trump. "Saya mempunyai hubungan baik dengan penduduk Haiti!"
Namun pemerintah Haiti - yang semalam merupakan ulang tahun kelapan sejak gempa bumi dahsyat menggegarkan negara itu dan mengorbakan sekurang-kurangnya 200,000 orang - menyatakan ia "marah dan terkejut" dengan komen-komen bersifat "perkauman" itu.
Komen-komen Encik Trump itu juga dibantah oleh Kesatuan Afrika dengan 55 negara, yang menuntut agar permohonan maaf rasmi dibuat, manakala El Salvador mengutuk komen tersebut sebagai "amat menyedihkan".
Jabatan Negata Amerika kini kelam kabut untuk mengawal keadaan, dengan seorang pegawai kanan berkata - meskipun Encik Trump menafikannya - utusan khas sudah dimaklumkan supaya menyampaikan rasa hormat Washington sekiranya diminta memberi penjelasan kerana mereka berada di Botswana.
Delegasi Amerika mula mengawal keadaan. Kedutaan di Afrika Selatan menyatakan Amerika Syarikat "amat menghormati" rakyat Afrika dan "dedikasi kami kepada rakan-rakan negara di seluruh benua itu".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.