Skip to main content

Dunia

Trump kecualikan tarif bagi daging lembu, kopi dan beberapa makanan di tengah kebimbangan inflasi

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (14 Nov) menandatangani satu perintah eksekutif untuk mengecualikan pelbagai jenis makanan import – termasuk daging lembu, tomato, kopi dan pisang – daripada tarif besar-besaran yang dikenakan awal tahun ini ke atas hampir semua negara, menurut Rumah Putih.
Anggaran Waktu Membaca:
Trump kecualikan tarif bagi daging lembu, kopi dan beberapa makanan di tengah kebimbangan inflasi
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Rumah Putih di Washington, DC pada 10 November 2025. (Gambar: REUTERS/Kevin Lamarque)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Jumaat (14 Nov) menandatangani satu perintah eksekutif untuk mengecualikan pelbagai jenis makanan import – termasuk daging lembu, tomato, kopi dan pisang – daripada tarif besar-besaran yang dikenakan awal tahun ini ke atas hampir semua negara, menurut Rumah Putih.

Perintah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha besar Encik Trump dan para pegawai tertingginya untuk menangani kebimbangan rakyat Amerika terhadap harga barangan runcit yang kekal tinggi.

Pengecualian baharu itu – yang berkuat kuasa secara retrospektif mulai tengah malam pada Khamis – menandakan satu perubahan ketara bagi Encik Trump, yang sekian lama menegaskan bahawa cukai importnya tidak mencetuskan inflasi. Langkah itu diumumkan selepas satu siri kemenangan oleh Parti Democrat dalam pilihan raya negeri dan tempatan di Virginia, New Jersey dan New York City, di mana isu kemampuan hidup menjadi tumpuan utama.

Rumah Putih menyatakan bahawa sebarang bayaran balik yang terlibat akan diproses mengikut peraturan dan prosedur Jabatan Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat.

Encik Trump sebelum ini mengubah sistem perdagangan global dengan mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas import dari setiap negara, di samping duti khusus tambahan yang berbeza mengikut negara.

Perintah yang dikeluarkan pada Jumaat itu menyusuli beberapa rangka kerja perjanjian perdagangan yang diumumkan pada Khamis, yang akan menghapuskan tarif ke atas beberapa jenis makanan dan barangan lain yang diimport dari Argentina, Ecuador, Guatemala dan El Salvador sebaik sahaja perjanjian tersebut dimuktamadkan, dengan para pegawai Amerika Syarikat mensasarkan untuk memeterai lebih banyak perjanjian menjelang akhir tahun.

Encik Trump sejak beberapa minggu kebelakangan ini memberi tumpuan khusus kepada isu kemampuan hidup, sambil tetap menegaskan bahawa kos lebih tinggi yang dihadapi rakyat berpunca daripada dasar-dasar yang dilaksanakan oleh mantan Presiden Joe Biden, dan bukan dasar tarifnya sendiri.

Para pengguna pula kekal kurang berpuas hati dengan harga barangan runcit yang tinggi, yang menurut ahli ekonomi sebahagiannya didorong oleh tarif import dan boleh meningkat lagi tahun depan apabila syarikat-syarikat mula memindahkan beban kos cukai berkenaan dengan sepenuhnya kepada para pengguna.

Pengerusi tertinggi parti Democrat dalam Jawatankuasa Sumber dan Peruntukan Dewan Perwakilan, Richard Neal, berkata pentadbiran Encik Trump sedang “memadamkan api yang mereka sendiri mulakan dan menyebutkannya sebagai satu kemajuan”.

“Pentadbiran Trump akhirnya mengakui secara terbuka apa yang telah kita semua ketahui sejak awal: ‘Perang Perdagangan Trump meningkatkan kos terhadap rakyat’,” kata Encik Neal dalam satu kenyataan. “Sejak tarif-tarif ini dilaksanakan, inflasi meningkat dan sektor pengilangan merosot dari bulan ke bulan.”
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita