Skip to main content

Dunia

Trump kaitkan autisme dengan vaksin dan Tylenol, dakwaan tiada bukti saintifik

Anggaran Waktu Membaca:
Trump kaitkan autisme dengan vaksin dan Tylenol, dakwaan tiada bukti saintifik

Ubat penahan sakit Tylenol. (Gambar fail: Reuters/Gary Cameron)

Diterbitkan : 23 Sep 2025 12:07PM Dikemas Kini : 23 Sep 2025 12:11PM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin (23 Sep) mengaitkan autisme dengan penggunaan vaksin kanak-kanak dan pengambilan ubat penahan sakit Tylenol oleh wanita semasa hamil. Ini secara langsung membawa dakwaan yang tidak disokong oleh bukti saintifik sebagai fokus utama dasar kesihatan Amerika Syarikat.

Dalam satu sidang media tergempar di Rumah Putih, presiden Republican itu memberikan nasihat perubatan kepada wanita hamil dan ibu bapa kanak-kanak kecil. Beliau berulang kali memberitahu mereka supaya tidak menggunakan atau memberikan ubat penahan sakit itu dan mencadangkan agar vaksin biasa tidak diambil bersama-sama atau terlalu awal dalam kehidupan seorang kanak-kanak.

Nasihat daripada Encik Trump, yang mengakui beliau bukan seorang doktor, adalah bertentangan dengan nasihat persatuan perubatan, yang memetik data dari pelbagai kajian yang menunjukkan bahawa acetaminophen, bahan aktif dalam Tylenol, memainkan peranan yang selamat untuk kesejahteraan wanita hamil.

Saya nak cakap terus terang, jangan ambil Tylenol. Jangan ambil," kata Encik Trump. "Perkara lain yang kami cadangkan, atau sekurang-kurangnya saya, adalah... jangan biarkan mereka 'suntik' anak anda dengan pelbagai jenis ubatan," katanya, merujuk kepada vaksin.

Tylenol, ubat yang banyak digunakan tanpa preskripsi, dijual sebagai acetaminophen di Amerika dan sebagai paracetamol di Britain dan tempat lain.

PENTADBIRAN TRUMP SOKONG LEUCOVORIN SEBAGAI RAWATAN

Pasukan Encik Trump mencadangkan leucovorin, sejenis asid folik, sebagai rawatan untuk gejala autisme.

Berpuluh-puluh kumpulan perubatan, penyelidikan dan advokasi autisme, termasuk Akademi Pediatrik Amerika dan Kolej Obstetrik dan Ginekologi Amerika, mengecam pengumuman presiden itu.

"Data yang dipetik tidak menyokong dakwaan bahawa Tylenol menyebabkan autisme dan leucovorin adalah penawar, dan hanya mencetuskan ketakutan dan secara palsu memberi harapan sedangkan tiada jawapan yang mudah," tegas Gabungan Saintis Autisme dalam satu kenyataan.

Menyokong Setiausaha Kesihatan Robert F. Kennedy Jr., seorang pengkritik vaksin yang berhujah bahawa tiada vaksin yang selamat, Encik Trump menggesa pemeriksaan semula hubungan antara vaksin dengan autisme, satu teori yang sudah berulang kali disangkal.

"Kami percaya sains bebas dan kukuh jelas menunjukkan bahawa pengambilan acetaminophen tidak menyebabkan autisme. Kami sangat tidak bersetuju dengan sebarang cadangan sebaliknya dan amat bimbang dengan risiko kesihatan yang ditimbulkan kepada ibu-ibu yang hamil dan ibu bapa," kata Kenvue, pengeluar Tylenol, dalam satu kenyataan.

SAHAM KENVUE PULIH

Saham syarikat kesihatan pengguna Kenvue pulih 5 peratus dalam perdagangan lanjutan selepas merosot lebih 7 peratus dalam sesi perdagangan pada Isnin. Saham itu kekal turun kira-kira 14 peratus sejak 5 September, apabila Wall Street Journal melaporkan bahawa Encik Kennedy merancang untuk mengaitkan acetaminophen dengan autisme. Kenvue dipisahkan daripada Johnson & Johnson pada 2023.

Encik Trump berkata beliau adalah seorang yang sangat percaya kepada vaksin, setelah memimpin inisiatif pandemik dalam penggal pertamanya untuk mempercepatkan pembangunan vaksin COVID-19. Namun, beliau menggesa penyingkiran merkuri dari vaksin dan berkata kanak-kanak tidak seharusnya mendapatkan vaksin hepatitis B sebelum usia 12 tahun. Vaksin ini biasanya diberikan dalam 24 jam pertama selepas kelahiran. Beliau juga berkata vaksin gabungan campak-beguk-rubela harus dipecahkan kepada tiga suntikan berasingan.

Pengumuman hubungan Tylenol-autisme itu mengingatkan kepada taklimat media Encik Trump pada bulan-bulan awal pandemik, apabila beliau sering memberikan nasihat yang tidak berasaskan sains, termasuk cadangannya agar orang ramai menelan peluntur, yang kemudiannya dikatakan oleh penyokongnya sebagai tidak serius.

Kajian menunjukkan vaksin adalah selamat, membasmi penyakit kanak-kanak seperti polio dan campak di Amerika. Sepanjang 50 tahun lalu, dianggarkan bahawa vaksin penting sudah menyelamatkan sekurang-kurangnya 154 juta nyawa, kata Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif UNICEF USA Michael J. Nyenhuis.

Hanya satu daripada empat rakyat Amerika percaya bahawa cadangan baru-baru ini untuk mengurangkan vaksin daripada pentadbiran Encik Trump adalah berdasarkan bukti saintifik dan fakta, menurut tinjauan Reuters/Ipsos bulan ini.

"Saya tidak boleh mengatakan bahawa saya pernah mengalami perkara seperti ini dalam vaksin," kata Dr Norman Baylor, bekas pengarah Pejabat Penyelidikan dan Semakan Vaksin FDA.
Related article image
Bungkusan Tylenol dipamerkan di rak di sebuah kedai pada 22 Sep 2025 di Greenbrae, California. (Gambar fail: AFP melalui Getty Images/Justin Sullivan)
PENTADBIRAN TRUMP UMUM LANGKAH-LANGKAH YANG AKAN DIAMBIL

Pentadbiran Trump meminta syarikat-syarikat ubat untuk bersiap sedia meningkatkan pengeluaran leucovorin sebagai rawatan untuk beberapa pesakit autisme, kata ketua Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Marty Makary kepada wartawan.

FDA meluluskan versi ubat yang dibuat oleh GSK, yang bertujuan untuk merawat keadaan yang berkaitan dengan autisme, tetapi yang tidak lagi dikeluarkan oleh syarikat ubat itu. Setelah ia ditetapkan untuk digunakan, pentadbiran berkata insurans Medicaid untuk orang berpendapatan rendah akan meliputi ubat itu untuk gejala autisme.

FDA, dalam proses kelulusannya, memetik semakan penggunaan leucovorin dalam 40 pesakit dengan gangguan metabolik yang jarang berlaku yang dipanggil kekurangan folat serebrum yang boleh membawa kepada pelbagai gejala neurologi, beberapa daripadanya dilihat pada orang dengan autisme.

FDA menyatakan ia akan cuba mengubah label untuk Tylenol tanpa preskripsi dan versi generiknya untuk mencerminkan bukti yang mencadangkan bahawa penggunaan semasa kehamilan mungkin dikaitkan dengan peningkatan risiko keadaan neurologi seperti autisme dan ADHD pada kanak-kanak. FDA juga menghantar surat kepada doktor dengan amaran yang sama, tetapi berkata hubungan sebab dan akibat belum dapat dibuktikan.

Penyelidik berkata tiada bukti kukuh mengenai hubungan antara penggunaan Tylenol dan autisme. Kajian pada 2024 terhadap hampir 2.5 juta kanak-kanak di Sweden mendapati tiada hubungan sebab dan akibat antara pendedahan kepada acetaminophen dalam rahim dan gangguan perkembangan saraf.

Satu kajian pada 2025 terhadap 46 kajian terdahulu mencadangkan hubungan antara pendedahan acetaminophen pranatal dan peningkatan risiko keadaan ini, tetapi penyelidik dari Sekolah Perubatan Icahn di Mount Sinai, Universiti Harvard dan lain-lain berkata kajian itu tidak membuktikan ubat itu menyebabkan hasil tersebut.

Mereka menasihatkan agar wanita hamil harus terus menggunakan acetaminophen seperti yang diperlukan, pada dos serendah mungkin dan untuk tempoh sesingkat mungkin. Pegawai Trump memetik semakan itu dan menggunakan bahasa yang serupa dalam menasihatkan berapa banyak Tylenol yang perlu diambil.

"Jelas sekali bahawa hubungan Tylenol-autisme bukanlah soalan baharu - ia dikaji berkali-kali dan dalam banyak kajian yang berbeza," kata penyelidik autisme Dr Diana Schendel dari Institut Autisme A.J. Drexel dalam satu kenyataan, sambil menyatakan bahawa beliau ingin melihat bukti baharu apa yang akan dikemukakan oleh pentadbiran itu. "Tanpa menunjukkan sebarang bukti untuk menyokong mereka, pengumuman itu menjadi tidak bertanggungjawab dan berpotensi berbahaya."

Penyelidik berkata leucovorin, yang digunakan untuk merawat beberapa pesakit barah dalam kemoterapi, menunjukkan sedikit harapan dalam ujian yang sangat kecil, tetapi ujian besar dan rawak masih diperlukan.

"Tiada bukti yang baik bahawa ia berkesan. Ada beberapa kajian, tetapi ia kecil dan bukan kajian terbaik. Jadi, ia sudah tentu bukan sesuatu yang saya cadangkan secara aktif," kata Dr Audrey Brumback, seorang pakar autisme dan penyelidik di Universiti Texas di Austin.
Sumber : Agensi berita/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita