Skip to main content

Dunia

Trump isytihar fentanyl sebagai 'senjata pemusnah besaran' dalam perang dadah yang kian memuncak

Anggaran Waktu Membaca:
Trump isytihar fentanyl sebagai 'senjata pemusnah besaran' dalam perang dadah yang kian memuncak
Presiden Amerika Donald Trump berucap semasa majlis penyampaian Pingat Pertahanan Sempadan Mexico di Pejabat Oval di Rumah Putih di Washington, DC pada 15 Disember 2025. (Gambar: Reuters/Evelyn Hockstein)
Diterbitkan : 16 Dec 2025 10:06AM Dikemas Kini : 16 Dec 2025 10:47AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada Isnin (15 Dis) mengisytiharkan fentanyl sebagai senjata pemusnah besar-besaran, satu langkah yang secara dramatik meluaskan kuasa pemerintah Amerika untuk memerangi opioid sintetik yang dipersalahkan atas puluhan ribu kematian akibat dos berlebihan di Amerika setiap tahun.

Penetapan ini, yang belum pernah berlaku bagi narkotik, menandakan niat Presiden Trump untuk menangani fentanyl bukan sekadar sebagai krisis kesihatan awam tetapi sebagai ancaman keselamatan negara setanding dengan peperangan kimia.

Klasifikasi tersebut, yang meningkatkan serangan terhadap apa yang menurutnya adalah samseng yang bertekad untuk membanjiri Amerika dengan dadah, memberi kuasa kepada Pentagon untuk membantu penguatkuasaan undang-undang dan membolehkan agensi perisikan menggunakan alat yang biasanya dikhususkan untuk menangani penyebaran senjata terhadap pengedar dadah.

"Kami secara rasmi mengklasifikasikan fentanyl sebagai senjata pemusnah besaran, yang memang itulah ia," kata Encik Trump pada acara Rumah Putih yang menghormati anggota perkhidmatan yang ditugaskan untuk membantu mengawal sempadan selatan Amerika dengan Mexico. "Mereka cuba meluaskan dadah di negara kita."

"Fentanyl haram lebih dekat kepada senjata kimia daripada narkotik," menurut perintah Encik Trump.

Penetapan kartel dadah oleh Presiden Trump tahun ini sebagai organisasi pengganas asing membuka pintu kepada tindakan ketenteraan terhadap mereka. Sejak awal September, pentadbiran Encik Trump melaksanakan lebih daripada 20 serangan terhadap kapal yang disyaki membawa dadah di Caribbean dan Pasifik, membunuh lebih daripada 80 orang.

Pakar undang-undang menyatakan bahawa serangan tersebut mungkin menyalahi undang-undang. Terdapat sedikit atau tiada bukti dilaporkan bahawa bot-bot tersebut membawa dadah atau bahawa ia perlu diletupkan berbanding dihentikan dan merampas kargo bagi menyoal mereka yang berada di atasnya.

Tinjauan Reuters/Ipsos yang diterbitkan pada Rabu mendapati bahawa sebahagian besar rakyat Amerika menentang kempen serangan maut tentera Amerika terhadap bot-bot tersebut, termasuk kira-kira satu perlima daripada Republikan Trump.

PresidenTrump berulang kali mengancam untuk melancarkan seranga darat di Venezuela, Colombia dan Mexico untuk memerangi pengedaran dadah. Dalam dokumen strategi menyeluruh yang diterbitkan minggu lalu, beliau mengatakan tumpuan dasar luar negeri pentadbirannya akan tertumpu kepada mengembalikan dominasi Amerika di Hemisfera Barat.

Mexico adalah sumber terbesar fentanyl haram yang menuju ke Amerika. Banyak bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan dadah tersebut adalah dari China. Opioid ini adalah penyebab utama kematian akibat dos berlebihan di Amerika.
 
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita