Skip to main content

Dunia

Trump harap Qatar boleh jadi pengantara perjanjian nuklear baharu dengan Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Trump harap Qatar boleh jadi pengantara perjanjian nuklear baharu dengan Iran

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. (Gambar: Brendan Smialowski / AFP)

Diterbitkan : 15 May 2025 11:47AM Dikemas Kini : 15 May 2025 11:53AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menyuarakan harapan agar Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani dapat membantu menjadi pengantara perjanjian nuklear dengan Iran, ketika rundingan diteruskan dalam apa yang disifatkannya sebagai “situasi berbahaya.”

Bercakap pada majlis santapan negara di Doha pada Rabu (14 Mei), Presiden Trump berkata: “Saya harap anda boleh bantu saya dalam isu Iran, kerana ini satu situasi berbahaya dan kami mahu lakukan perkara yang betul.”

Beliau turut memuji usaha pemimpin Qatar itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Saya harap para pemimpin Iran memahami bahawa apa yang anda lakukan untuk mereka - adalah satu kebaikan. Perdana menteri anda, pemimpin hebat di sebelah kiri saya ini, telah banyak membantu, dan mereka menghormatinya dan mereka mendengarnya.

“Mereka perlu bertindak segera. Kami berdua faham. Keputusan itu di tangan mereka,” kata Encik Trump yang duduk di sebelah Amir.

Beliau turut menyatakan harapan agar Iran menyedari bahawa mereka mempunyai “sahabat baik” di Qatar.

Rundingan antara Iran dan Amerika, yang memberi tumpuan kepada program nuklear Tehran, bermula bulan lalu dengan Oman sebagai orang tengah, menyusuli ketegangan yang memuncak antara kedua-dua negara.

Rundingan pusingan keempat dimuktamadkan di Muscat pada Ahad (11 Mei), dengan Presiden Trump sekali lagi menekankan kepentingan isu itu, dan berkata perjanjian tersebut boleh “menyelamatkan mungkin jutaan nyawa.”

Rundingan itu bertujuan untuk mencapai persetujuan baharu bagi menggantikan Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), perjanjian nuklear 2015 yang Amerika menarik diri pada Mei 2018 di bawah pentadbiran Presiden Trump.

Penarikan diri itu menjadi detik perubahan apabila Washington melancarkan kempen “tekanan maksimum” untuk memaksa Iran kembali ke meja rundingan - usaha yang akhirnya gagal.

Sebagai tindak balas, Iran mula mengurangkan pematuhannya terhadap JCPOA, sambil menuduh penandatangan Barat gagal menunaikan komitmen ekonomi di bawah perjanjian tersebut.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita