Trump guna kuasa veto tolak rang undang-undang pertahanan AS
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu (24 Dis) menolak Rang Undang-Undang dasar pertahanan yang telah diluluskan kedua-dua parti, sekali gus meningkatkan kemungkinan Amerika Syarikat berdepan operasi pemerintah yang lumpuh sewaktu pandemik.
Presiden AS Donald Trump. (Gambar fail: Tom Brenner/REUTERS)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu (24 Dis) menolak Rang Undang-Undang dasar pertahanan yang telah diluluskan kedua-dua parti, sekali gus meningkatkan kemungkinan Amerika Syarikat berdepan operasi pemerintah yang lumpuh sewaktu pandemik.
Encik Trump yang marah dengan rakan-rakannya dari pihak Republikan di Kongres, cuba untuk mengubah dua undang-undang rumit yang diluluskan Kongres dengan undian majoriti dari kedua-dua pihak ekoran rundingan selama berbulan-bulan.
Encik Trump mengugut untuk menolak Rang Undang-Undang pertahanan itu dan menuntut perubahan mendadak pada pakej AS$2.3 trilion (S$3.06 trilion) yang membiayai pemerintah persekutuan dan menyediakan bantuan COVID-19 bernilai hampir AS$900 bilion (S$1.196 trilion).
Sekiranya Encik Trump menghalang pakej perbelanjaan itu, sebahagian besar operasi pemerintah Amerika Syarikat mungkin mula tutup minggu depan kerana kekurangan dana ketika para pegawai mengagihkan dua vaksin virus korona dan berusaha untuk bertindak balas terhadap serangan penggodaman besar-besaran.
Dengan tinggal kurang sebulan memegang jawatan, Encik Trump marah kerana beberapa anggota Republikan mengiktiraf kekalahan beliau di tangan calon Demokrat Joe Biden dalam pilihan raya 3 November. Encik Biden akan mengangkat sumpah sebagai presiden pada 20 Januari.
Kedua-dua anggota Demokrat dan Republikan membantah tindakan Encik Trump menggunakan kuasa veto terhadap Akta Kebenaran Pertahanan Nasional.
Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi pada Rabu berkata bahawa Dewan akan bersidang pada 28 Disember untuk memilih sama ada akan mengatasi tindakan veto Encik Trump. Pada hari yang sama pendanaan pemerintah dijadual akan luput. Satu undian Senat dijangka tidak lama selepas itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.