Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Trump gesa Musk 'lebih agresif' dalam usaha kecilkan saiz pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:
Trump gesa Musk 'lebih agresif' dalam usaha kecilkan saiz pemerintah

Presiden Amerika Donald Trump (kiri) dan pemilik X Elon Musk. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 23 Feb 2025 07:55AM Dikemas Kini : 23 Feb 2025 07:57AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Sabtu (22 Feb) menggesa hartawan Elon Musk supaya bertindak lebih agresif dalam usahanya mengecilkan saiz pemerintah persekutuan.

Ini walaupun tindakannya memberhentikan pekerja dan memotong peruntukan pemerintah telah mencetuskan kemarahan orang ramai.

"Elon telah melaksanakan tugasnya dengan baik, tetapi saya ingin melihatnya lebih agresif," kata Encik Trump dalam catatan di platform media sosialnya Truth Social.

"Ingat, kita punya sebuah negara untuk diselamatkan, tetapi akhirnya, menjadikannya lebih hebat berbanding sebelumnya. MAGA!"

Encik Trump melantik usahawan teknologi itu supaya memimpin Jabatan Kecekapan Pemerintah (DOGE), di mana beliau ditugaskan untuk mengurangkan perbelanjaan awam dan menangani pembaziran serta dakwaan rasuah.

Encik Musk yang merupakan individu terkaya di dunia dan penyumbang dana terbesar kepada Encik Trump - telah memimpin usaha untuk memecat sebilangan kakitangan pentadbiran, daripada pakar saintis hingga ke para penjaga taman.

Dalam langkah pemberhentian kerja terkini, Jabatan Pertahanan Amerika mengumumkan ia akan memotong sekurang-kurangnya 5 peratus tenaga kerja penjawat awamnya mulai minggu depan.

Pentadbiran Trump sudah pun mula memecat ramai pekerja persekutuan lain yang berada dalam tempoh percubaan.

Pada minggu ini, Encik Musk berkata beliau akan terus bekerja dengan Encik Trump "selagi mana beliau dapat membantu".

Ini sedang mereka berdua menolak keprihatinan berhubung kemungkinan berlaku konflik kepentingan disebabkan oleh kontrak-kontrak pemerintah Encik Musk.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan