Skip to main content

Dunia

Trump gesa Israel segera henti bedil Gaza selepas Hamas sedia bebaskan tebusan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Jumaat (3 Okt) beliau percaya Hamas bersedia bagi keamanan dan memberitahu Israel supaya berhenti mengebom Gaza, selepas Hamas mengisytiharkan ia bersedia untuk membebaskan tebusan di bawah pelan damai yang diusulkan oleh Encik Trump.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump gesa Israel segera henti bedil Gaza selepas Hamas sedia bebaskan tebusan

Kepulan asap kelihatan berikutan serangan Israel di tengah Carikan Gaza, pada 24 September 2025. (Gambar fail: REUTERS/Dawoud Abu Alka)

Diterbitkan : 04 Oct 2025 07:43AM Dikemas Kini : 04 Oct 2025 07:48AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Jumaat (3 Okt) beliau percaya Hamas bersedia bagi keamanan dan memberitahu Israel supaya berhenti mengebom Gaza, selepas Hamas mengisytiharkan ia bersedia untuk membebaskan tebusan di bawah pelan damai yang diusulkan oleh Encik Trump.

"Berdasarkan kenyataan yang baharu sahaja dikeluarkan oleh Hamas, saya percaya mereka bersedia bagi keamanan berkekalan. Israel harus segera berhenti mengebom Gaza supaya mereka boleh membebaskan tebusan dengan selamat dan dengan cepat!" kata Encik Trump dalam catatan di Truth Social.

Dalam respons, Hamas menyifatkan kenyataan oleh Encik Trump yang menggesa Israel supaya berhenti mengebom Gaza sebagai "menggalakkan" dan menunjukkan kesediaan untuk berunding untuk melepaskan tebusan dan menamatkan perang.

"Kenyataan Presiden Trump dan pemberhentian segera serangan bom Israel di Carikan Gaza adalah menggalakkan, dan Hamas bersedia untuk segera mulakan rundingan bagi mencapai pertukaran tebusan, menamatkan perang dan memastikan pengunduran tentera (Israel) dari Carikan Gaza," kata jurucakap Hamas Taher al-Nounou kepada AFP.

Sebelum ini, Hamas menyatakan ia akan bersetuju dengan beberapa perkara dalam pelan damai Encik Trump bagi menamatkan perang Gaza, termasuk membebaskan tebusan, namun ia tidak menyentuh tentang isu-isu lebih membimbangkan seperti pelucutan senjata dan ia menyatakan ia mahu mengadakan rundingan lanjut.

Dalam salinan kenyataan yang dilihat oleh Reuters, Hamas memberi responsnya kepada pelan 20 perkara yang diusulkan oleh Encik Trump selepas Encik Trump memberikan Hamas sehingga Ahad ini (5 Okt) untuk menerima atau menolak usulan itu.

Ia tidak jelas sama ada Amerika Syarikat atau Israel mahu mengadakan rundingan lanjut mengenai syarat-syarat pelan itu.

Sementara itu, Mesir menyatakan pada Sabtu ia berharap ada "kemajuan positif" selepas respons Hamas kepada pelan damai Gaza yang diusulkan oleh Encik Trump akan mendorong semua pihak untuk melaksanakan pelan itu, menurut kenyataan oleh kementerian luar Mesir.

Ia juga menyatakan ia akan berusaha sedaya upaya dengan negara-negara Arab yang lain, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah untuk mencapai gencatan senjata berkekalan di wilayah Gaza.

Qatar juga menyatakan ia sudah mula berkoordinasi dengan pengantara Mesir dan Amerika Syarikat bagi memulakan rundingan mengenai pelan damai Trump bagi menamatkan perang Gaza, kata jurucakap kementerian ehwal luar Qatar di platform X.

Beliau menambah, Qatar turut mengalu-alukan respons Hamas kepada pelan damai Encik Trump.

HAMAS BERSEDIA BEBASKAN TEBUSAN GAZA

Hamas menyatakan pada Jumaat (3 Okt) pihaknya bersedia membebaskan tebusan yang ditahan di Gaza di bawah pelan damai yang diusulkan oleh Encik Trump tetapi ia mahu rundingkan syarat-syaratnya dan mempunyai hak bersuara dalam masa hadapan wilayah Palestin itu.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan sama ia akan bersetuju untuk melucutkan senjata dan mengundurkan tentera dari Gaza - sesuatu yang Israel dan Amerika Syarikat mahu dilaksanakan tetapi ia ditolak oleh Hamas sebelum ini.

Ia juga tidak bersetuju dengan pengunduran tentera Israel secara berperingkat, berbanding dengan pengunduran serta-merta sepenuhnya yang dituntut oleh Hamas.

Rumah Putih tidak segera membalas respons untuk mendapatkan komen.

Sebelum ini pada Jumaat, ia menggesa Hamas supaya menerima usulan itu atau berdepan kesan akibat yang buruk.

Tiada komen segera juga diberikan oleh Israel, yang menyokong usulan itu.
Sumber : Agensi berita/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita