Skip to main content

Dunia

Trump gesa gencatan senjata 30 hari Rusia-Ukraine

Anggaran Waktu Membaca:
Trump gesa gencatan senjata 30 hari Rusia-Ukraine

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bertemu semasa mereka menghadiri upacara persemadian Pope Francis di Vatican pada 26 April 2025 (Foto: Perkhidmatan Media Presiden Ukraine/Edaran melalui REUTERS)

Diterbitkan : 09 May 2025 07:47AM Dikemas Kini : 09 May 2025 07:50AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Khamis (8 Mei) menggesa gencatan senjata tanpa syarat selama 30 hari antara Rusia dan Ukraine sambil berkata bahawa kedua-dua negara itu akan dipertanggungjawabkan untuk mengadakan rundingan secara langsung.

Encik Trump berkata dalam catatan media sosial: "Jika gencatan senjata tidak dihormati, Amerika dan rakan-rakan kongsinya akan mengenakan sekatan selanjutnya."

Encik Trump selanjutnya berkata bahawa beliau mahu gencatan senjata tersebut membawa kepada "keamanan yang berkekalan."

"Semuanya boleh dilakukan dengan pantas, dan saya bersedia membantu jika saya diperlukan."

Ukraine telah menyatakan kesediaannya untuk menerima saranan Amerika untuk melaksanakan gencatan senjata selama 30 hari dengan serta-merta, manakala Rusia pula hanya mencadangkan gencatan senjata selama tiga hari bersempena ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua pada Khamis (8 Mei).

Menteri Luar Ukraine berkata pada Khamis bahawa Rusia sudah berulang kali melanggar gencatan senjata selama tiga hari beberapa jam selepas ia berkuat kuasa, sambil menyifatkannya sebagai muslihat Mosko untuk terus menyerang Kyiv.

Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada Februari 2022. Ia telah menduduki Crimea pada 2014.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy berkata pada Khamis bahawa beliau memberitahu Presiden Donald Trump dalam panggilan telefon bahawa Kyiv bersedia untuk memeterai gencatan senjata selama 30 hari dengan Rusia "mulai sekarang."

Presiden Ukraine itu selanjutnya berkata bahawa Rusia perlu menunjukkan kesediaannya untuk menamatkan perang, bermula dengan gencatan senjata tanpa syarat.
Sumber : AGENCIES/fs/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita