Trump enggan dengar pita rakaman pembunuhan 'ngeri' Khashoggi
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau sudah diberi taklimat mengenai rakaman audio pembunuhan wartawan Arab Saudi Kamal Khashoggi.
Wartawan rakyat Arab Saudi, Jamal Khashoggi. (Gambar: Mohammed Al-Shaikh/AFP)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau sudah diberi taklimat mengenai rakaman audio pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu mendengarnya kerana "ia adalah pita kesengsaraan, pita mengerikan," kata Encik Trump dalam wawancara bersama Fox News pada Ahad (18 Nov).
"Ia amat ganas, amat kejam dan teruk."
Presiden Trump juga enggan mengulas dakwaan peranan Putera Mahkota Saudi Mohammed Bin Salman dalam pembunuhan tersebut, meskipun laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) memutuskan bahawa putera mahkota itu mengarahkan pembunuhan dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.
"Saya tidak tahu. Siapa yang benar-benar tahu? Tapi apa yang saya boleh katakan, beliau (putera mahkota) memberitahu saya dirinya tiada kaitan. Putera mahkota itu ada 'ramai orang'... maknanya beliau tidak tahu pembunuhan terbabit," kata Encik Trump semasa ditanya sama ada Putera Mohammed berbohong apabila menafikan peranannya dalam pembunuhan Khashoggi.
Washington berdepan kritikan meningkat supaya menghukum negara pentadbiran diraja itu atas kejadian tersebut. Para penggubal dasar kanan Democrat dan Republican mendesak Presiden Trump supaya mengambil pendirian tegas ke atas Riyadh, termasuk menggantung jualan senjata ke negara berkenaan dan menggugurkan sokongan terhadap Putera Mahkota Mohammed.
Pentadbiran Rumah Putih melaksanakan sekatan ekonomi ke atas 17 pegawai Arab Saudi atas dakwaan peranan mereka dalam pembunuhan itu, namun tidak menyasarkan kerajaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.