Skip to main content

Dunia

Trump disiasat di bawah Akta Pengintipin, FBI rampas dokumen rahsia dari Mar-a-Lago

Anggaran Waktu Membaca:
Trump disiasat di bawah Akta Pengintipin, FBI rampas dokumen rahsia dari Mar-a-Lago

Donald Trump (Gambar fail: AP/Gerald Herbert)

Diterbitkan : 13 Aug 2022 07:57AM
FLORIDA: Ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) membawa keluar 11 set dokumen sulit termasuk beberapa yang ditandakan sebagai rahsia besar, semasa menggeledah rumah bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Florida, kata Jabatan Kehakiman pada Jumaat (12 Ogos), sambil mendedahkan ia mempunyai kemungkinan sebab untuk melakukan pencarian berdasarkan pelanggaran Akta Pengintipan.

Pendedahan itu dibuat dalam waran yang diluluskan oleh hakim majistret AS dan dokumen berkaitan yang dikeluarkan empat hari selepas ejen menggeledah kediaman Encik Trump di Mar-a-Lago di Palm Beach.

Akta Pengintipan, satu daripada tiga undang-undang yang disebut dalam permohonan waran, menjadikannya satu jenayah untuk mengeluarkan maklumat yang boleh membahayakan keselamatan negara.

Encik Trump, dalam satu kenyataan di platform media sosialnya, berkata rekod itu "semuanya sudah didedahkan" dan "diletakkan dalam simpanan selamat."

"Mereka tidak perlu 'merampas' apa-apa. Mereka boleh memilikinya pada bila-bila masa mereka mahu tanpa bermain politik dan menceroboh Mar-a-Lago," kata ahli perniagaan Republican yang kemudian menjadi ahli politik itu.

Pencarian itu dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan persekutuan sama ada Encik Trump membawa keluar dokumen secara haram apabila beliau meninggalkan jawatan pada Januari 2021 selepas kalah dalam pilihan raya Presiden dua bulan sebelum itu kepada Democrat Joe Biden.

Undang-undang persekutuan yang dipanggil Akta Rekod Presiden AS memerlukan pemeliharaan memo, surat, nota, e-mel, faks dan komunikasi bertulis lain yang berkaitan dengan tugas rasmi Presiden.

Walaupun FBI pada Isnin membawa keluar bahan yang dilabel sebagai dokumen sulit, tiga undang-undang yang disebut sebagai asas untuk waran itu menjadikannya satu jenayah untuk menyalahgunakan rekod pemerintah, tidak kira sama ada ia disenaraikan sebagai maklumat sulit.

Ejen FBI mengambil lebih daripada 30 bahan termasuk lebih 20 kotak, gambar, nota tulisan tangan dan pemberian pengampunan eksekutif untuk sekutu Encik Trump dan penasihat lama Roger Stone, termasuk juga maklumat tentang "Presiden Perancis."

Siasatan dimulakan selepas pentadbiran Arkib Negara dan Rekod Kebangsaan AS memaklumkan Kongres pada Februari lalu bahawa ia menemui kira-kira 25 kotak dokumen Rumah Putih di rumah Encik Trump di Florida dengan sebahagiannya adalah maklumat sulit.
Sumber : Agensi berita/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita