Trump dijadual hadiri Perhimpunan Agung PBB; bertemu pemimpin Ukraine, Britain
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ke-80 di ibu pejabat PBB di New York City, pada 23 September 2025. (Gambar fail: Reuters/MIKE Segar)
- Donald Trump dijadual berada dua hari di New York untuk Perhimpunan Agung PBB, termasuk acara politik di Trump Tower dan ucapan pada pagi Selasa.
- Kehadirannya berlaku ketika hampir 130 ketua negara berkumpul, manakala PBB berdepan tekanan kerelevanan, kecaman Trump dan pengurangan pembiayaan Amerika Syarikat.
- Agenda Trump dibayangi konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, ancaman Houthi dan tumpuan terhadap usaha menghalang Iran memiliki senjata nuklear.
- Beliau juga dijadual bertemu Zohran Mamdani, Volodymyr Zelenskyy, Andy Burnham, Sanae Takaichi, Ali Faleh al-Zaidi, Delcy Rodriguez dan pemimpin Teluk.
Hampir 130 ketua negara berhimpun di New York sedang aturan dunia pasca Perang Dunia Kedua semakin tertekan dan PBB sendiri bergelut untuk kekal relevan, selain berdepan kecaman Encik Trump, yang sejak sekian lama menyatakan rasa tidak senang terhadap institusi itu dan telah mengurangkan pembiayaan Amerika Syarikat kepada banyak agensinya.
Encik Trump dijangka tiba di New York pada petang Isnin (21 Sep) untuk menghadiri "acara politik" di Trump Tower pada malam tersebut, kata Duta Amerika Syarikat ke PBB Mike Waltz kepada para wartawan pada Jumaat.
Pada pagi Selasa, Encik Trump akan berucap di Perhimpunan Agung PBB.
"Presiden akan menekankan bagaimana beliau dan pemerintahnya menangani masalah-masalah rumit di seluruh dunia," kata Encik Waltz.
"Beliau akan menyentuh peri pentingnya memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear."
KONFLIK IRAN MEMBAYANGI PERTEMUAN
Pertemuan Encik Trump akan dibayangi perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran, yang kini berlarutan lebih enam bulan tanpa tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat dan berisiko menjadi lebih luas apabila kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran menyerang Arab Saudi dan mengancam laluan perkapalan penting.
Konflik dengan Iran berkemungkinan dibincangkan apabila Encik Trump menyertai mesyuarat dengan para pemimpin Majlis Kerjasama Teluk.
Beliau kemudian akan mengadakan jamuan untuk majlis itu, dengan beliau dijangka mengadakan pertemuan pertama secara bertemu muka dengan Cik Delcy Rodriguez, presiden sementara Venezuela yang disokong Washington selepas tentera Amerika Syarikat menggulingkan mantan Presiden Venezuela Nicolas Maduro.
PERTEMUAN DENGAN DATUK BANDAR DEMOCRAT
Encik Trump, seorang anggota Republican yang berasal dari New York City, juga dijadual bertemu pada Isnin dengan Datuk Bandar Zohran Mamdani dari Parti Democrat, menurut kenyataan pejabat datuk bandar kepada Reuters pada Ahad.
Pertemuan itu akan berlangsung di kediaman rasmi datuk bandar, Gracie Mansion, dan akan memberi tumpuan kepada "isu-isu yang menjejas New York City dan penduduk New York", menurut kenyataan itu.
PERTEMUAN DENGAN ZELENSKYY PADA SELASA
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy turut disenaraikan dalam agenda Encik Trump. Beliau berkata dalam satu catatan di media sosial pada Ahad bahawa beliau dan Encik Trump bersetuju untuk bertemu di New York.
Pemimpin Ukraine itu tidak menyatakan bilakah pertemuan tersebut akan diadakan, tetapi seorang yang mengetahui perkara berkenaan berkata ia dijangka diadakan pada Selasa.
Pada Selasa, Encik Trump dijadual mengadakan pertemuan dua hala berasingan dengan Perdana Menteri Andy Burnham — pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin — dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi.
Encik Trump juga akan bertemu Perdana Menteri Iraq Ali Faleh al-Zaidi semasa acara PBB itu, menurut laporan media Iraq pada minggu sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.