Skip to main content

Dunia

Trump didiagnos alami masalah salur darah kronik selepas kaki bengkak, tangan lebam

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, didiagnos menghidap masalah salur darah vena yang biasa berlaku dan tidak berbahaya, menurut Rumah Putih pada Khamis (17 Julai), menyusuli spekulasi mengenai lebam teruk pada tangannya dan bengkak pada kakinya.

Anggaran Waktu Membaca:
Trump didiagnos alami masalah salur darah kronik selepas kaki bengkak, tangan lebam

Tangan kanan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kelihatan ketika beliau bercakap kepada media sebelum menaiki Marine One di South Lawn, Rumah Putih pada 15 Julai 2025, dan presiden itu semasa mesyuarat di Pejabat Bundar pada 16 Julai 2025. (Gambar fail: AFP)

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, didiagnos menghidap masalah salur darah vena yang biasa berlaku dan tidak berbahaya, menurut Rumah Putih pada Khamis (17 Julai), menyusuli spekulasi mengenai lebam teruk pada tangannya dan bengkak pada kakinya.

Presiden berusia 79 tahun itu, yang pada Januari lalu menjadi individu tertua yang pernah menjawat jawatan presiden, didapati mengalami keadaan “kekurangan salur darah vena yang kronik”, kata Setiausaha Media Karoline Leavitt, kepada wartawan.

Perubahan warna yang ketara pada tangan kanan Encik Trump pula merupakan "kerengsaan tisu akibat berjabat tangan secara kerap" dan kesan penggunaan aspirin sebagai sebahagian daripada rawatan kardiovaskular biasa, jelas Cik Leavitt.

Doktor presiden, Sean Barbabella, menyatakan bahawa Encik Trump "masih berada dalam keadaan kesihatan yang sangat baik" walaupun mengalami keadaan tersebut, dalam surat yang dikeluarkan oleh Rumah Putih.

Encik Trump, dari parti Republican, sering membanggakan tahap kesihatannya dan tenaganya, malah pentadbirannya baru-baru ini menyiarkan gambar yang menggelarnya Superman.

Encik Trump sebelum ini menuduh anggota Democrat menyembunyikan kemerosotan mental dan fizikal pendahulunya, Joe Biden, yang berusia 82 tahun ketika menamatkan jawatan pada Januari.

Kini, selepas menjalani pemeriksaan perubatan rutin dan mendakwa dirinya dalam "keadaan yang sangat baik", Encik Trump sendiri terpaksa menjawab soalan berkaitan kesihatannya.

Pendedahan oleh Cik Leavitt itu dibuat selepas perbincangan meluas online mengenai buku lali Encik Trump yang kelihatan bengkak, terutamanya semasa perlawanan akhir Piala Dunia Kelab FIFA baru-baru ini di New Jersey, serta lebam di tangan yang sering kelihatan ditutupi solekan.

"Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Presiden Trump mendapati berlaku bengkak ringan pada bahagian bawah kakinya," kata Cik Leavitt, sambil menambah bahawa beliau diperiksa oleh doktor Rumah Putih "atas dasar langkah berjaga-jaga".

Ujian ultrabunyi mendedahkan bahawa beliau mengalami "kekurangan vena yang kronik", iaitu keadaan biasa dan tidak berbahaya, terutamanya dalam kalangan individu berusia lebih 70 tahun.

Keadaan ini melibatkan saluran darah vena pada kaki yang terjejas dan gagal mengalirkan darah dengan betul.

Cik Leavitt juga berkata Encik Trump telah meminta beliau berkongsi diagnosis ini "demi ketelusan".

Dr Matt Heinz, seorang pakar perubatan dalaman dari Tucson, Arizona, pula memberitahu AFP bahawa kekurangan vena kronik adalah “agak biasa”, terutama sekali dalam kalangan warga emas, dan berpunca daripada injap vena yang kurang berfungsi.

Rumah Putih menekankan bahawa keadaan itu tidak menimbulkan risiko serius kepada Encik Trump, dengan menyatakan bahawa "yang penting, tiada bukti trombosis vena dalam atau penyakit arteri".

Encik Trump juga mempunyai "struktur dan fungsi jantung yang normal, tiada tanda kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang atau penyakit sistemik", tambah Cik Leavitt.

Mengenai isu lebam pada tangan pula, Cik Leavitt berkata: “Ini adalah kesan sampingan aspirin yang biasa dan tidak berbahaya.”

Namun begitu, selama beberapa bulan sebelum ini, Rumah Putih menolak soalan mengenai lebam tersebut, dengan menyatakan bahawa ia semata-mata disebabkan jabat tangan yang kerap.
Sumber : AFP/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita