Trump desak wartawan CNN dipecat atas laporan penilaian serangan Iran
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menggesa agar wartawan CNN, Natasha Bertrand, dipecat selepas beliau melaporkan penilaian awal risikan yang mendakwa serangan udara Amerika ke atas kemudahan nuklear Iran hanya menghambat program tersebut selama beberapa bulan sahaja.
Presiden Donald Trump menyampaikan ucapan kepada rakyat Amerika di Rumah Putih pada 21 Jun menyusuli serangan Amerika terhadap kemudahan nuklear Iran. (Gambar: Reuters)
Dalam catatannya di platform Truth Social, Encik Trump menuduh Cik Bertrand menyebarkan “berita palsu” dan menuduh beliau “cuba menjatuhkan reputasi juruterbang patriotik” yang terlibat dalam operasi tersebut.
Encik Trump menggesa Cik Bertrand “harus dipecat serta-merta dan dibuang seperti anjing,” satu kenyataan yang mencetuskan kritikan meluas.
Laporan yang dipersoalkan itu menyatakan bahawa serangan ke atas tiga tapak nuklear utama Iran tidak memusnahkan komponen teras program tersebut, berdasarkan penilaian awal oleh Agensi Risikan Pertahanan (DIA).
Laporan itu turut disahkan oleh beberapa media lain termasuk The New York Times dan ABC News.
CNN mempertahankan laporan tersebut, sambil menyatakan bahawa ia berdasarkan maklumat sahih dan telah disahkan oleh sumber lain.
“CNN berdiri teguh di belakang kewartawanan Natasha Bertrand dan rakan-rakannya,” kata jurucakap rangkaian itu dalam satu kenyataan.
Encik Trump terus menegaskan bahawa serangan tersebut telah menyebabkan “kemusnahan keseluruhan” program nuklear Iran, walaupun penilaian rasmi menyatakan sebaliknya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.