Trump dedah India sedia kenakan sifar tarif ke atas barangan Amerika
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (1 Sep) India menawarkan untuk mengenakan sifar tarif ke atas barang import Amerika, walaupun Perdana Menteri India Narendra Modi sedang menunjukkan tanda perpaduan secara terbuka bersama pemimpin China dan Rusia di tengah-tengah tekanan perdagangan dari Washington.
Presiden Donald Trump berucap di sebuah masyuarat Kabinet pada Selasa 26 Ogos 2025, di Rumah Putih. (Gambar fail: AP/Mark Schiefelbein)
Sambil menyifatkan hubungan Amerika dengan India "berat sebelah", Encik Trump menulis di platform Truth Social: "Mereka kini menawarkan untuk memotong tarif mereka kepada sifar, tetapi ia semakin lewat. Mereka seharusnya melakukan demikian beberapa tahun lalu."
Kedutaan India di Washington tidak segera memberi respons kepada komen Encik Trump, yang diterbitkan menyusuli pelaksanaan duti keseluruhan setinggi 50 peratus ke atas barang import India, yang menimbulkan persoalan terhadap masa depan hubungan antara Amerika Syarikat dengan India.
Encik Trump berkata demikian sedang PM Modi berada di China bagi menghadiri sidang puncak yang disertai lebih 20 pemimpin negara-negara bukan Barat di Pertubuhan Kerjasama Shanghai, iaitu sebuah inisiatif yang disokong China yang diberi dorongan baharu oleh pelaksanaan tarif global Trump.
Di sidang puncak itu, Presiden China Xi Jinping membentangkan visinya bagi sebuah keselamatan global baharu dan peraturan ekonomi yang mengutamakan "Selatan Global", dalam satu cabaran langsung kepada Amerika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.