Trump dedah Amerika hadapi 'banyak masalah' dengan Perancis
Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berjabat tangan di Sidang Puncak Damai Gaza di Sharm El-Sheikh, Mesir pada 13 Okt 2025. (Gambar fail: Pool via AFP/Yoan Valat)
Penyampai Fox News Laura Ingraham menyoal Encik Trump berhubung kemasukan pelajar China di universiti-universiti di Amerika Syarikat sambil berkata, "mereka bukan orang Perancis, mereka warga China. Mereka sedang mengintip negara kita. Mereka mencuri harta intelek kami."
Namun Encik Trump mencelah beliau lalu berkata: "Anda fikir Perancis lebih hebat? Saya akan beritahu anda, saya tidak begitu pasti."
Encik Trump yang terlibat dalam perang perdagangan dengan Beijing, mempunyai hubungan yang cukup muhibah dengan rakan sejawatannya dari Perancis, Emmanuel Macron.
Pada September lalu, Encik Macron bahkan menelefon Encik Trump secara langsung untuk memberitahunya bahawa beliau disekat di jalan raya oleh konvoi presiden di New York sedang beliau bergegas untuk menghadiri mesyuarat dari ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun hubungan erat antara kedua-dua pemimpin itu kadangkala tidak jelas, dengan Encik Trump membantah tindakan Encik Macron mengiktiraf negara Palestin dan dasar iklim.
Dalam wawancara dengan Fox, Encik Trump mengalihkan tumpuan dari China kepada dasar cukai Perancis, yang menurutnya adalah satu isu bagi Amerika Syarikat.
"Kami mempunyai banyak masalah dengan Perancis di mana kami dikenakan cukai secara tidak adil ke atas teknologi kami," kata Encik Trump.
Beliau sebelum ini berkata bahawa beliau akan mengenakan tarif tambahan "tinggi" ke atas negara-negara yang memperkenalkan cukai digital "bersifat diskriminasi".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.