Trump dakwa Putin dan Zelenskyy mahu berdamai; mulakan rundingan untuk tamatkan perang
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata kedua-dua Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menyatakan hasrat untuk berdamai dalam panggilan telefon berasingan dengannya pada Rabu (12 Feb), dan Encik Trump mengarahkan para pegawai atasan Amerika memulakan rundingan mengenai usaha untuk menamatkan perang di Ukraine.

Encik Trump berkata pemimpin Rusia, yang melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada 2022, mahu perang berakhir dan mereka membincangkan usaha memeterai "gencatan senjata dalam masa yang tidak terlalu lama". (Gambar: AP/Alex Brandon)
Perbualan itu diadakan selepas Setiausaha Pertahanan Trump sebelum ini berkata Kyiv perlu melepaskan matlamat lamanya untuk menyertai pakatan tentera NATO dan mendapatkan semula semua wilayahnya yang dirampas oleh Rusia, menandakan perubahan dramatik dalam pendekatan Washington terhadap konflik tersebut.
Selepas bercakap dengan Encik Putin selama lebih sejam, Encik Trump berkata pemimpin Rusia itu, yang melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada 2022, mahu perang berakhir dan mereka membincangkan usaha memeterai "gencatan senjata dalam masa yang tidak terlalu lama".
"Beliau mahu ia (perang) berakhir. Beliau tidak mahu menamatkannya dan kemudian kembali bertempur enam bulan kemudian," kata Encik Trump kepada para wartawan di Rumah Putih.
"Saya fikir kita sedang dalam perjalanan untuk mendapatkan keamanan. Saya fikir Presiden Putin mahukan keamanan, Presiden Zelenskyy juga mahukan keamanan dan saya mahukan keamanan. Saya hanya mahu melihat orang ramai berhenti dibunuh," tambahnya.
Encik Trump sudah lama berkata bahawa beliau akan segera menamatkan perang di Ukraine, tanpa menyatakan dengan tepat bagaimana beliau akan mencapainya.
Kremlin sebelum ini menyatakan bahawa Encik Putin dan Encik Trump telah bersetuju untuk bertemu, dan Encik Putin telah mengundang Encik Trump untuk melawat Mosko. Encik Trump berkata pertemuan pertama mereka "mungkin" akan diadakan tidak lama lagi di Arab Saudi.
Dalam catatan di platform media sosialnya, Encik Trump berkata Setiausaha Negara Marco Rubio, Pengarah CIA John Ratcliffe, Penasihat Keselamatan Negara Michael Waltz dan Utusan Timur Tengah Steve Witkoff akan mengetuai rundingan untuk menamatkan perang.
Encik Trump dan Encik Zelenskyy mengadakan perbualan selepas panggilan telefon antara Encik Trump dengan Encik Putin, dan Pejabat Encik Zelenskyy berkata perbualan itu berlangsung selama kira-kira sejam.
"Saya mengadakan perbualan yang bermakna dengan @POTUS. Kami ... bercakap tentang peluang untuk mencapai keamanan, membincangkan kesediaan kami untuk bekerjasama ... dan keupayaan teknologi Ukraine ... termasuk dron dan industri maju lain," tulis Encik Zelenskyy di X.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.