Skip to main content

Dunia

Trump dakwa menang pilihan raya presiden Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
Trump dakwa menang pilihan raya presiden Amerika

Donald Trump pada 6 Nov 2024 di Florida. (Gambar: AP/Alex Brandon)

FLORIDA: Donald Trump mengisytiharkan beliau memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada Rabu (6 Nov), memaklumkan penyokongnya bahawa Amerika memberinya "mandat yang belum pernah berlaku sebelum ini".

Bercakap di Florida, Encik Trump memberitahu penyokong yang bersorak kegembiraan bahawa beliau akan berjuang untuk setiap rakyat.

Encik Trump, 78 tahun, hanya memerlukan lagi beberapa undi perwakilan untuk mencapai 270 bagi kemenangan yang jelas, namun ia ibarat sesuatu keputusan yang sudah hampir pasti buat masa ini.

Agensi media Amerika, termasuk CNN dan CBS, memberi kemenangan di Pennsylvania kepada Encik Trump. Dengan 19 undi perwakilan, ia adalah wilayah penting yang terbesar.

Ini adalah wilayah penting ketiga yang dimenangi Encik Trump, selepas North Carolina dan Georgia.

Ia juga adalah wilayah penting kedua yang telah berjaya 'dirampas' daripada Democrat.

Belum ada Democrat yang berjaya menuju ke Rumah Putih tanpa memenangi Pennsylvania sejak 1948.

Wilayah itu mengundi Democrat dalam setiap pilihan raya presiden selepas 1988 sehingga Encik Trump menang tipis semasa pilihan raya 2016.

Encik Biden, yang dilahirkan di Pennsylvania, memenangi wilayah itu pada 2020 selepas menumpaskan Encik Trump dengan jurang kurang daripada 2 mata peratusan.

Rapat kempen Encik Trump di wilayah itu juga adalah tapak di mana percubaan bunuh dilakukan ke atas mantan presiden itu pada bulan Julai.

Encik Trump ditembak di bahagian telinga semasa ucapannya sebelum pengawal keselamatan menyerbu dan melindunginya.

Penyerang berusia 20 tahun itu, Thomas Matthew Crooks, ditembak dan dibunuh sejurus selepas dia melepaskan tembakan terhadap Encik Trump.

Percubaan bunuh itu adalah tembakan kali pertama terhadap seorang calon presiden atau parti Amerika sejak percubaan bunuh ke atas Presiden Republican Ronald Reagan.

Pennsylvania adalah wilayah di mana kedua-dua calon membelanjakan jumlah wang tertinggi bagi iklan kempen, menurut penjejak perbelanjaan iklan oleh Financial Times.

Keputusan di empat wilayah penting belum diumumkan - Arizona, Nevada, Wisconsin and Michigan.

Encik Trump malah juga memberi penghormatan kepada Elon Musk.

Ini selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla dan SpaceX itu memberi agihan AS$1 juta (S$1.3 juta) kepada pengundi berdaftar di wilayah-wilayah penting pilihan raya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita