Trump cuma bayar cukai pendapatan AS$750 pada 2016
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hanya membayar cukai pendekatan AS$750 pada tahun 2016, iaitu tahun beliau memenangi pilihan raya presiden, lapor The New York Times pada Ahad (27 Sep), yang merujuk kepada data penyata cukai bagi tempoh lebih 20 tahun.
Presiden AS Donald Trump. (Gambar fail: Tom Brenner/REUTERS)
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hanya membayar cukai pendekatan AS$750 pada tahun 2016, iaitu tahun beliau memenangi pilihan raya presiden, lapor The New York Times pada Ahad (27 Sep), yang merujuk kepada data penyata cukai bagi tempoh lebih 20 tahun.
Laporan itu turut mendedahkan bahawa Trump hanya membayar AS$750 (S$1,000) pada tahun pertama beliau menyandang jawatan presiden dan langsung tidak membayar cukai pendapatan dalam tempoh 10 daripada 15 tahun lalu kerana mengalami kerugian yang lebih besar berbanding keuntungan yang diraihnya.
Encik Trump bagaimanapun dengan pantas menyangkal laporan itu sebagai "berita palsu".
Presiden Amerika Syarikat tidak diwajibkan oleh undang-undang untuk mendedahkan kedudukan kewangan mereka.
Sungguhpun demikian, semua bekas presiden selepas Richard Nixon melakukannya.
Encik Trump memecahkan tradisi itu apabila beliau enggan mendedahkan kedudukan kewangannya. Beliau sebaliknya kerap bertikai di mahkamah dan ini meningkatkan lagi spekulasi mengenai kandungan penyata tersebut.
Penyata cukai Encik Trump menjadi isu utama semasa pilihan raya 2016 dan isu itu kerap dibahaskan sepanjang penggalnya sebagai presiden dan ia sekali lagi dipertikaikan menjelang pilihan raya presiden pada 3 Nov ini.
Menurut The New York Times, data cukai yang dilihatnya itu "memberikan gambaran tentang kos bagi mendapatkan khidmat peguam bela dan rumah mewah yang digunakan untuk percutian keluarganya dan juga berjuta-juta dolar yang diterima Encik Trump daripada peraduan ratu cantik Miss Universe 2013 di Moscow."
Encik Alan Garten, peguam bagi Trump Organization, memberitahu The New York Times sebagai respons terhadap dakwaan-dakwaan tersebut bahawa "sepanjang tempoh sedekad yang lalu, Presiden Trump sudah membayar berpuluh-puluh juta dolar bagi cukai peribadinya kepada pemerintah persekutuan, termasuk membayar berjuta-juta dolar bagi cukai peribadi sejak mengumumkan pencalonannya pada 2015."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.