Trump bertemu Zelenskyy, tolak kemungkinan sidang puncak tiga hala
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bertemu dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy di Rumah Putih pada Jumaat (17 Okt), namun menolak kemungkinan untuk mengadakan sidang puncak tiga hala antara Amerika Syarikat, Rusia dan Ukraine dalam masa terdekat, lapor Xinhua.
Lawatan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy ke Rumah Putih merupakan kunjungan ketiganya sepanjang penggal kedua Presiden Donald Trump. (Gambar: REUTERS)
Bercakap bersama Encik Zelenskyy sebelum rundingan mereka, Encik Trump berkata pertemuannya yang dirancang dengan Presiden Rusia Vladimir Putin di Hungary akan menjadi “pertemuan dua hala sahaja” kerana masih wujud “banyak permusuhan” antara Mosko dan Kyiv.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan Amerika Syarikat membekalkan peluru berpandu jelajah Tomahawk buatan Amerika, yang menjadi tumpuan utama strategi Washington dalam konflik Rusia-Ukraine, Encik Trump menjelaskan bahawa negaranya juga memerlukan senjata itu dan memberi amaran bahawa pemindahannya ke Ukraine boleh mencetuskan “peningkatan besar” konflik.
“Kami lebih suka jika mereka tidak memerlukan Tomahawk. Kami lebih suka peperangan ini berakhir,” kata Encik Trump.
“Kami juga memerlukan Tomahawk. Kami tidak mahu memberikan sesuatu yang kami sendiri perlukan untuk melindungi negara kami,” kata beliau.
Encik Zelenskyy pula berkata terdapat momentum baharu untuk menamatkan konflik Rusia-Ukraine selepas gencatan senjata di Gaza, namun menuduh Mosko enggan kembali ke meja rundingan dan menggesa Washington supaya terus mengekalkan tekanan terhadap Rusia.
“Presiden Trump kini mempunyai peluang besar untuk menamatkan peperangan ini,” kata Encik Zelenskyy sambil menegaskan bahawa jaminan keselamatan adalah “perkara paling penting bagi rakyat Ukraine.”
“NATO memang yang terbaik, tetapi senjata sangat penting. Sekutu di pihak kami juga amat penting,” katanya.
Beliau berkata bahawa syarikat tenaga Amerika bersedia membantu Ukraine selepas serangan Rusia baru-baru ini ke atas infrastruktur tenaga negaranya.
Lawatan itu merupakan kunjungan ketiga Encik Zelenskyy ke Rumah Putih sepanjang penggal kedua Presiden Trump. Pertemuan itu berlangsung sehari selepas panggilan telefon antara Encik Trump dan Encik Putin.
Encik Trump dan Encik Putin kali terakhir bertemu pada Ogos lalu di Alaska untuk membincangkan isu Ukraine, namun tiada persetujuan dicapai dan rundingan gencatan senjata kekal buntu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.