Skip to main content

Dunia

Trump bertegas mahu kenakan tarif 25% ke atas Mexico, Kanada

Anggaran Waktu Membaca:
Trump bertegas mahu kenakan tarif 25% ke atas Mexico, Kanada

(Gambar: JOE RAEDLE / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

Diterbitkan : 28 Jan 2025 07:39AM Dikemas Kini : 28 Jan 2025 07:41AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kekal bertegas untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada bermula 1 Feb, menurut laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada Isnin (27 Jan).

Seorang pegawai kanan menjelaskan bahawa walaupun Mexico telah mengambil langkah untuk mengelakkan tarif import Amerika, seperti mengatur empat penerbangan setiap hari untuk membawa pulang pendatang haram dari negara itu, melaksanakan dasar untuk menghalang migrasi ke Amerika dan menempatkan pasukan di sepanjang sempadan utara, usaha itu mungkin masih belum mencukupi.

Encik Trump dikatakan "sangat serius" dengan ancamannya dan mengharapkan kerjasama penuh daripada kedua-dua Mexico dan Kanada, kata pegawai itu kepada WSJ.

Seorang pegawai Kanada memberitahu akhbar itu bahawa Kanada sudah cuba berunding dengan pentadbiran Encik Trump, tetapi ramai pelantikan kabinet Encik Trump, termasuk Howard Lutnick sebagai Setiausaha Perdagangan, masih belum disahkan.

Pegawai itu menambah bahawa Kanada bersedia melaksanakan langkah-langkah tindak balas jika tarif baharu Amerika itu diperkenalkan.

Sementara itu, seorang pegawai Mexico melahirkan rasa kecewa dengan kekurangan rundingan perdagangan dengan pentadbiran Encik Trump. Menurut pegawai itu, Menteri Luar Mexico Juan Ramon de la Fuente telah mengadakan perbualan telefon minggu lalu dengan Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio untuk membincangkan isu migrasi dan keselamatan, tetapi isu perdagangan tidak disentuh dalam perbincangan tersebut.

Pada 20 Jan, Encik Trump berkata bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk mengenakan tarif import 25 peratus ke atas Mexico dan Kanada bermula 1 Feb, menunaikan janjinya pada November lalu.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita